Beras: Akmal terjah, beri amaran kepada kilang

SEPANG 26 Sept. –  Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh tidak akan berkompromi dengan mana-mana kartel yang ingin mengaut keuntungan besar ketika rakyat sedang susah untuk mendapatkan beras tempatan.

Justeru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Exco kerajaan Melaka itu berkata, pihaknya akan menjejak sehingg ke ‘hujungnya ’ semua pengilang, pengedar, dan peruncit terutama di Melaka.

Dalam kenyataan memlaui video yang dimuatnaik hari ini, beliau berkata, inilah masanya untuk membantu rakyat yang ketika ini sedang susah.

Katanya, mulai Sabtu ini, setiap minggu kerajaan negeri bersama FAMA akan mengadakan jualan beras putih tempatan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), terhad kepada warganegara Malaysia, satu keluarga 10 kilogram.

Kenyataan Dr Akmal itu susulan tindakannya semalam menerjah operasi dua buah kilang beras dan memberi amaran kepada pihak pengilang jika gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu menegaskan, tugas beliau melindungi rakyat dan bukannya tauke besar.

Semalam, menerusi video berdurasi tiga minit 24 saat, Akmal mengancam menarik lesen pengilang yang enggan mengeluarkan beras tempatan dengan paket dan harga yang ditetapkan kerajaan.

Katanya, margin keuntungan yang kecil tidak boleh dijadikan alasan oleh pengilang untuk tidak mengeluarkan beras tempatan.

“Kalau you (awak) tak mahu buat you cakap, saya tarik you punya lesen. Kalau you cakap you rugi ini kerajaan punya arahan tahu RM26 (sepaket).

“Kalau you rugi, you cakap dengan (saya) sekarang, saya tarik you punya lesen kasi (beri) orang lain hantar (beras).

“Sekarang ini you punya lesen, you kata rugi tak mahu jual (beras tempatan), saya boleh panggil kerajaan tarik you punya lesen semua,” katanya dalam video yang dimuatnaik di Facebooknya.

Video itu menunjukkan Akmal sedang mendesak pengilang supaya mengeluarkan beras tempatan seperti mana arahan kerajaan.

Sebelum ini, Akmal mencadangkan supaya kerajaan mengehadkan penjualan beras tempatan kepada warga asing berikutan kenaikan harga yang didorong oleh kekurangan bekalan di pasaran.

Tindakan itu yang pada pandangannya bukan soal diskriminasi, mendapat reaksi balas Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohamad Sabu, yang menganggapnya cadangan gopoh tanpa mengambil kira hak kemanusiaan.

Related posts

Leave a Comment