Pengerusi Amanah Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan

SEREMBAN 26 Sept. – Jawatan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan kekal kepada Amanah selepas Pengerusi Amanah Negeri, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman mengangkat sumpah untuk jawatan itu..

Nama MK Ibrahim dicadangkan Menteri Besar,  Aminuddin Harun pada majlis angkat sumpah 36 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Persidangan Pertama (Khas) Penggal Ke-15 di Bangunan DUN Negeri Sembilan, di sini.

Cadangan itu disokong ADUN Pertang,  Jalaluddin Alias yang juga Exco Kanan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup.

Jawatan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan sebelum ini disandang bekas Pengerusi Amanah negeri, Zulkefli Mohamad Omar manakala pelantikan Timbalan Speaker DUN ditangguhkan.

Persidangan Pertama DUN Ke-15 akan dilangsungkan selama empat hari bermula 9 Oktober depan.

MK Ibrahim, 67, lulusan diploma kejuruteraan, juga memegang jawatan Ahli Majlis Dewan Bandaraya Seremban (MBS).

Pada 30 Ogos lalu, Aminuddin yang juga ADUN Sikamat memaklumkan bahawa kerusi Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan akan kekal dipegang wakil Amanah bagi memastikan keseimbangan dalam kalangan parti membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Sementara itu, Aminuddin, berkata tiada lagi isu berbangkit terutama dari kalangan ahli Amanah berhubung pelantikan itu.

“Saya rasa tidak ada isu kerana pelantikan ini juga melalui Amanah pusat yang menghantar nama pada saya.

“Pelantikan beliau juga mendapat sokongan penuh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),” katanya selepas majlis angkat sumpah ADUN dan Persidangan Pertama (Khas) Penggal Ke-15 di sini, hari ini.

Sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, pimpinan pemuda Amanah Negeri Sembilan tidak berpuas hati selepas hasrat parti itu untuk bertanding tiga kerusi DUN pada PRN tidak dipenuhi.

Ini susulan kerusi DUN Lenggeng yang dulunya dimenangi Amanah diserahkan kepada BN-UMNO.

Pada PRN yang berlangsung 12 Ogos lalu, gabungan parti PH dan BN memenangi sebanyak 31 kerusi daripada 36 DUN, manakala Perikatan Nasional (PN) pula memenangi lima kerusi.

(Foto Pejabat MB Negeri Sembilan)

Related posts

Leave a Comment