PN ganti UMNO demi kestabilan politik?

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mencadangkan Perikatan Nasional (PN) menggantikan UMNO yang didakwa menjadi punca terhadap ketidakstabilan politik dalam negara.

Presiden Pejuang,  Mukhriz Mahathir, berkata, perjalanan politik sejak era Datuk Seri Najib Tun Razak banyak melibatkan UMNO termasuk 1MDB, langkah Sheraton, kejatuhan Barisan Nasional (BN), pilihan raya negeri Johor Melaka dan pilihan raya umum disegerakan.

Kes terbaharu melibatkan UMNO adalah keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan Presiden UMNO,  Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan membabitkan kes Yayasan Akalbudi.

“UMNO hanya ada 28 ahli Parlimen. Gugurkan mereka, ada lagi 119 kerusi termasuk Ahli Parlimen Muar mewakili MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Masih cukup untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Kerajaan Perpaduan mentadbir,” katanya pada satu sidang media.

Beliau berkata, jika gabungan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu enggan berbuat demikian, PN dan Pakatan Harapan (PH) boleh mempertimbangkan untuk memeterai perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) bagi memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

“Kalau boleh adakan satu perjanjian supaya mereka (PN) tidak ambil ahli Parlimen UMNO dan PN boleh buat CSA dengan PH atau sertai Kerajaan Perpaduan, gantikan UMNO yang mewakili orang Melayu.

“Masalah selesai, sudah tentu akan ada perbezaan antara PH dan PN tetapi kalau boleh diketepikan, lakukan demi kebaikan dan masa depan negara,” katanya.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, PN mesti dihalang daripada mengambil Ahli Parlimen UMNO yang dibimbangi bakal menimbulkan pelbagai masalah lain.

Related posts

Leave a Comment