AG diminta tetap garis masa DNNA

KUALA LUMPUR 13 Sept. – Parti Pejuang Tanah air Malaysia (Pejuang) menuntut Peguam Negara (AG) membuat pengesahan garis masa yang diperlukan untuk memutuskan isu kes DNAA Zahid Hamidi.

Presidennya Mukhriz Mahathir berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak lagi boleh senyap seribu bahasa kerana kes ini telah menarik perhatian dan persepsi kurang enak hatta ke media antarabangsa.

Pejuang juga menggesa AG baharu mengambil tindakan arahan amalan baharu iaitu kes pendakwaan berprofil tinggi atau mana-mana kes pendakwaan yang mencapai kes pembelaan wajib diteruskan dan diputuskan oleh Mahkamah.

“Sekurang-kurangnya boleh guna proses rayuan oleh mana-mana pihak yang terkilan dengan keputusan di akhir pembelaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Pejuang, rakyat telah mula celik dan melihat bagaimana sistem undang-undang negara dipermainkan demi kuasa dan kedudukan politik malahan rakyat juga mempersoal adakah kekebalan pihak-pihak berkuasa ini sesuatu yang kena mereka hadapi dan telan sahaja?

“Pejuang amat-amat bimbang dengan trend yang kian menjadi berkaitan kes-kes berprofil tinggi yang menunjuk ke arah ‘incompetency’ pihak Jabatan Peguam Negara (AGC). Terkini kes ‘DNAA’ Zahid Hamidi dan pembatalan rayuan Najib Razak Arul Kanda.

Dalam jangka masa seminggu, dua kes membabitkan dua personaliti tertinggi UMNO ini nampaknya seolah-olah mendapat laluan mudah di Mahkamah,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Mukhriz mempersoalkan bagaimana kes Zahid pada tahap prima facie telah dipanggil oleh Mahkamah setelah 99 saksi, 53 hari perbicaraan dan pembelaan pula 15 saksi, tiba- tiba dengan sebegitu mudah sahaja syor dari AGC/DPP/Jabatan Peguam Negara adalah untuk satu DNAA?

Katanya, amat dangkal dan tidak munasabah untuk AGC menarik balik pertuduhan. Ini hanya semata-mata untuk elak Mahkamah buat keputusan.

Begitu juga dengan kes rayuan babitkan Najib Razak dan Arul Kanda apabila semalam Mahkamah Rayuan telah membatalkan rayuan oleh pihak Pendakwa Raya dalam kes pertuduhan pindaan laporan audit 1MDB.

“Yang peliknya adakah pembatalan rayuan adalah atas kecuaian dan pengabaian tugas DPP/AGC sendiri. Kegagalan untuk memfail Petisyen Rayuan dalam jangka masa ditetapkan dan tambah lagi keengganan untuk memfail apa-apa permohonan lanjutan masa oleh DPP tidak boleh diterima langsung,” katanya.

Pejuang juga mengucap tahniah kepada mana-mana Ahli Parlimen yang secara terbuka menyuarakan kebimbangan mengenai apa yang berlaku dalam kes Zahid dan Najib baru-baru ini.

“Kini tiba masa lebih ramai Ahli Parlimen ke hadapan atau adakah kerajaan hari ini bersetuju dengan apa yang berlaku kini berkenaan kecuaian tanggungjawab oleh Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment