PH kekal kerusi Pulai, Simpang Jeram

JOHOR BAHRU 9 Sept. – Pakatan Harapan (PH) terus menguasai kawasan Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang berlangsung hari ini.

Suhaizan Kayat,  bekas Speaker DUN Johor mempertahankan kerusi Pulai yang dimenangi PH pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu selepas mengalahkan, Zulkifli Jaafar daripada Perikatan Nasional (PN) dan Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas).

Bagaimanapun Suhaizan menang dengan majoriti lebih rendah iaitu 18,641 undi berbanding majoriti besar 33,174 diraih Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Suhaizan yang meraih 48,283 undi menewaskan Zulkifli (PN) yang memperoleh  29,642 undi, manakala Samsudin meraih 528.

Kemenangan Suhaizan yang juga Naib Pengerusi Amanah Johor itu mencatat sejarah peribadi kepadanya selepas tewas enam kali dalam pilihan raya yang pernah ditandinginya sebelum ini..

Di Simpang Jeram pula, calon PH, Nazri Abdul Rahman, seorang jurutera menang dengan majoriti 3,514 selepas meraih 13,844 undi menewaskan pakar bedah, Dr Mohd Mazri Yahya (PN) yang memperoleh 10,330 undi manakala calon Bebas S.Jeganathan hanya mendapat 331 undi.

Kedua-dua PRK berkembar berkenaan dijalankan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Pada PRU-15 November lalu, Salahuddin menang di kerusi Parlimen Pulai dengan 64,900 undi, menewaskan Datuk Nur Jazlan Mohamed daripada Barisan Nasional (BN) yang meraih 31,726, manakala Loh Kah Yong daripada PN meraih 20,677.

Di Simpang Jeram pula, Salahuddin menewaskan Zaril Salleh daripada PN dengan 6,360 undi; Lokman Md Don daripada BN (6,062 undi) dan Mahaizal Mahmor daripada Pejuang (208 undi).

 

 

Related posts

Leave a Comment