KUALA LUMPUR 7 Sept. – Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad daripada ketiga-tiga pertuduhan rasuah yang dihadapi mereka.
Hakim Azhar Abdul Hamid membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan pasangan itu untuk semakan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan mereka membela diri atas tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta membabitkan pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual Berhad.
Bung, 63, kelihatan tenang manakala Zizie Izette, 44, menangis selepas mendengar keputusan itu.
Hakim memutuskan bahawa adalah sesuai dan wajar untuk melaksanakan kuasa penyemakan di bawah Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dalam kes itu.
“Setelah meneliti rekod prosiding, mahkamah ini mendapati tiada bukti saksi pendakwaan ke-24 iaitu ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid dan saksi pendakwaan ke-25, perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar telah memberikan wang kepada Bung Mokhtar melalui isterinya.
Jadi keputusan Mahkamah Sesyen untuk memanggil pembelaan adalah satu kesalahan dalam melaksanakan keadilan. Saya dengan ini menggunakan Seksyen 325 KTJ untuk membebaskan dan melepaskan kedua-dua mereka,” kata hakim itu.
Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Low Chin How manakala peguam K. Kumaraendran dan M. Athimulan masing-masing mewakili Bung Mokhtar dan Zizie Izette.
Sementara itu, Bung Moktar tidak menafikan bahawa tiga pertuduhan rasuah yang dikenakan kes atasnya adalah bermotifkan politik dan memang menuju ke arah itu.
Beliau yang ditemui selepas Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan beliau daripada tuduhan itu, melahirkan keyakinan bahawa Hakim Azhar sudah mengadili kesnya dengan sebaik mungkin.
Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, mengakui sudah lima tahun beliau dan isteri berjuang sepanjang perbicaraan kes itu.
Bagaimanapun, katanya, beliau tidak dapat menolak tanggapan dan persepsi orang ramai yang mengaitkan keputusan itu dengan kes Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan Isnin lalu.
Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah itu berkata, keputusan pembebasannya adalah disebabkan hujahan pihak pembelaan bahawa pendakwaan gagal dan dua saksi utama mereka yang belot, diterima mahkamah.
“Tidak ada sebab Datuk Seri Zahid dibebaskan saya mesti dibebaskan. Saya dibebaskan atas sebab hakim memberi maklumat bahawa saya dibebaskan kerana kegagalan pendakwa raya membuktikan kesilapan saya dan dua saksi utama pendakwa raya belot dan ini kenyataan yang boleh diterima oleh mahkamah.
“Ini mungkin tanggapan atau persepsi (orang ramai) tapi dalam kes saya, kita melihat hakim (Mahkamah Tinggi) mengadili dengan sebaik mungkin dan kita telah berjuang dalam perbicaraan ini selama lima tahun.
“Saya bersyukur mahkamah sudah membebaskan saya dan isteri pada hari ini…Terima kasih kepada pasukan peguam dan kepada semua yang mendoakan saya di seluruh negara. Terima kasih banyak-banyak semoga Allah membalas budi baik mereka,” katanya.
