ABIM minta penjelasan Pejabat Peguam Negara

KUALA LUMPUR 4 Sept. –  Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Pejabat Peguam Negara memberi penjelasan berhubung keputusan menarik semula kes Dr Ahmad Zahid Hamidi berkaitan 47 kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan Yayasan Akalbudi.

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata langkah itu bagi mengelak sebarang salah faham terhadap jabatan berkenaan.

“Ini juga bagi menghentikan spekulasi yang berpotensi mewujudkan persepsi masyarakat terhadap sistem keadilan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau merujuk tindakan pihak Peguam Negara menerusi Timbalan Pendakwa Raya yang memohon untuk menarik semula kes Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkaitan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Hakim  Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya,  Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.

Muhammad Faisal berkata, ABIM turut menggesa iltizam pengstrukturan semula kuasa pendakwaan dengan pengasingan kuasa antara Pendakwa Raya dan Pejabat Peguam Negara.

Related posts

Leave a Comment