19 kes baharu di Thailand

THAILAND merekodkan 19 kes positif baharu Covid-19 hari ini 8 Disember, termasuk melibatkan empat petugas perubatan menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 4,126 kes dengan kematian kekal 60 kes.

Menurut kenyataan Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA), kesemua petugas kesihatan terbabit termasuk seorang lelaki, berusia antara 25 dan 40 tahun, bekerja di sebuah fasiliti kuarantin alternatif (ASQ) di sini.

Baki 15 lagi merupakan kes import termasuk enam wanita Thai berusia 24 hingga 37 tahun yang bekerja di sebuah pusat hiburan di Tachileik, sebuah bandar di sempadan Myanmar, dan pulang ke tanah air melalui saluran yang sah.

Mereka diuji positif pada hari pertama hingga hari keempat kuarantin wajib di Chiang Mai.

Turut diuji positif ialah seorang suri rumah warga Thai berusia 21 tahun yang menyusup masuk ke Chiang Rai dari Myanmar.

Baki kes melibatkan seorang banduan wanita warga Thai yang dihantar balik dari negara luar serta tujuh warga asing yang tiba di negara ini dan sedang menjalani kuarantin di ASQ.

Related posts

Leave a Comment