KUALA LUMPUR 26 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO mengingatkan supaya tiada mana-mana pihak yang mempertikaikan usaha untuk menyuburkan agama Islam di sekolah termasuk program Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.
Ketua pergerakan itu, Dr Muhamad Akmal Saleh menegaskan, program di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu tidak langsung memaksa pelajar bukan Islam untuk mempelajarinya.
Dr Muhamad Akmal berkata, Islam adalah agama rasmi Malaysia dan cara hidup majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam, bukan hanya ritual keagamaan saja.
“Menyokong penuh usaha kerajaan untuk memperkenalkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi kepada pelajar Islam di sekolah. Tidak langsung ada paksaan untuk pelajar bukan Islam untuk mempelajarinya
Maka, jangan pertikaikan usaha untuk menyuburkan ilmu agama Islam di dalam sekolah.
“Jika ada yang mempertikaikan, tidak kira kawan mahu pun lawan, berhadapanlah dengan Pemuda UMNO dahulu. Noktah,” tegas beliau dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Sebelum ini, beberapa pihak menjadikan langkah KPM untuk memperkenalkan modul itu sebagai isu.
Majlis Perundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul berkenaan.
Kumpulan itu berkata, Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama, selain agama mereka.
Bagaimanapun, KPM dalam satu kenyataan, menjelaskan pelaksanaan modul berkenaan disasarkan kepada guru dan murid beragama Islam saja, membabitkan 61 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) seluruh negara.
Ia bertujuan memupuk semangat ihsan, kasih sayang dan memperkasakan kefahaman agama dalam kalangan guru dan murid beragama Islam.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, kelmarin juga meminta polemik itu dihentikan kerana modul berkenaan akan hanya membabitkan pelajar Islam.
