BN yakin calon PH Pulai menang mudah

JOHOR BAHRU 26 Ogos – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin calon Pakatan Harapan (PH) yang mewakili gabungan PH-BN mampu menang dengan mudah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai pada 9 September nanti.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata ia susulan hubungan baik antara penyandang kerusi berkenaan Allahyarham Salahuddin Ayub dengan ahli UMNO di kawasan itu, selain jalinan hubungan sedia ada antara kepemimpinan UMNO di bahagian berkenaan dengan akar umbi PH.

“Untuk Pulai, saya mempunyai keyakinan kuat (mampu menang) kerana Ketua UMNO Bahagian Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed ada hubungan baik sekian lama dengan rakan-rakan PH walaupun sembilan bulan lepas kita bertempur,” katanya selepas proses penamaan calon di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Katanya, pada Pilihan Raya Umum ke-15 lepas, jumlah undi yang diterima PH dan BN adalah lebih daripada 94,000 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN) hanya menerima kira-kira 20,000 undi.

Beliau turut menyifatkan keserasian dalam gabungan Kerajaan Perpaduan kini berada tahap tertinggi dalam menghadapi PRK Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, dan ia dapat dapat dilihat semasa proses penamaan calon berlangsung di kedua-dua kawasan itu pagi tadi.

“Namun kita perlu akui peringkat akar umbi perlukan sedikit waktu, jadi dalam tempoh kempen harap kita dapat dipadukan dengan jentera rakan Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas tamat proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini hari ini.

Sementara itu ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Sanusi Md Nor yang mendakwa UMNO bakal berkubur dalam PRK Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Ahmad Zahid berkata beliau enggan melayan provokasi pemimpin Pas itu.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram masing-masing bakal menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon PH, Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram dilaksanakan susulan kematian penyandangnya Salahuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, pada 23 Julai lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh undi awal pada 5 September, manakala hari pengundian pada 9 September.

Related posts

Leave a Comment