China haram import makanan laut Jepun

BEIJING: China mengharamkan semua import makanan laut dari Jepun sebagai  tindak balas terhadap langkah Jepun melepaskan air radioaktif yang sudah dirawat dari loji nuklear Fukushima Daiichi ke Lautan Pasifik pada 24 Ogos lalu.

Walaupun Jepun menegaskan bahawa operasi tersebut selamat untuk dijalankan, namun dalam satu kenyataan Kementerian Kewangan China menegaskan pelepasan air tersebut adalah “tindakan yang sangat mementingkan diri sendiri.

Menurut China, langkah itu sebagai “tidak bertanggungjawab”, yang akan “menolak risiko kepada seluruh dunia dan memberi kesusahan kepada generasi akan datang.

Untuk rekod, China adalah pembeli terbesar makanan laut dari Jepun tahun lalu, membentuk sekitar 25 peratus daripada penjualannya dan berikutan itu, pihak kastam “mengharamkan import barangan laut dari Jepun mulai 24 Ogos 2023.

Selain China, tindakan Jepun melepaskan air berkenaan ke Lautan Pasifik juga mencetuskan bantahan keras di Korea Selatan di mana negara itu mengekalkan larangan import ikan dan produk makanan dari 10 wilayah Jepun.

Seoul juga meminta Tokyo agar telus dalam mendedahkan maklumat mengenai pelepasan air itu yang dijangka selesai dalam masa kira-kira 30 tahun.

Related posts

Leave a Comment