KLANG 21 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru masyarakat Melayu Islam di negeri ini mengelakkan perbalahan dan persengketaan sesama sendiri yang boleh membawa perpecahan dan imej buruk kepada kesucian agama Islam.
Menurut pemerhatian baginda, politik sudah banyak memecah-belahkan perpaduan sesama umat Islam dengan amalan fahaman politik sempit.
“Cukuplah apa yang berlaku. Kita perlu maju ke hadapan dan membawa perubahan kepada cara kita berpolitik dan berfikir,” titah baginda selepas menyempurnakan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan & Ikrar Aku Janji serta Pengurusan Surat Cara Pelantikan Exco Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah, di sini, petang ini.
Titah baginda, pilihan raya sudah selesai dan semua pihak perlu bersama-sama mengeratkan semula hubungan tanpa mengira agama, kaum dan fahaman politik.
“Kita perlu kembali bersatu padu membangunkan semula negara dan negeri Selangor khususnya.
Hormatilah antara satu sama lain dengan tidak membesarkan perkara yang menyentuh sensitiviti sesuatu agama, kaum, bangsa atau keturunan yang boleh menggugat keharmonian,” titah baginda?
Baginda juga berharap platform media sosial dan semua aplikasi teknologi moden yang ada diguna untuk perkara positif yang boleh menyumbang kepada perpaduan masyarakat, bukannya untuk menyebarkan fitnah dan kebencian yang boleh menyebabkan perpecahan masyarakat
Titah baginda, semua pihak perlu menghentikan caci-mencaci yang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat, sebaliknya menumpukan perhatian ke arah memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara.
Baginda juga menegur tindakan segelintir pihak dan individu tertentu termasuk pemimpin politik yang menggunakan kata-kata kesat dan biadap ketika berkempen dengan mengheret institusi raja dalam ceramah mereka.
Menurut baginda, keadaan yang berlaku itu menggambarkan terhakisnya rasa hormat segelintir ahli dan pemimpin politik terhadap institusi raja dan kesultanan Melayu yang menjadi payung kepada umat Islam, orang Melayu dan bangsa lain.
“Beta ingin menyentuh mengenai insiden membabitkan penggunaan kata-kata kesat dan biadab yang dilemparkan oleh segolongan kelompok masyarakat, ahli politik, tidak ketinggalan segelintir pemimpin parti politik ketika berkempen dengan mengheret institusi raja ke dalam ceramah mereka.
“Sikap biadab mereka ini melangkaui batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara.
Ingatlah jangan kerana kita menyangka kita cukup popular dalam kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing, malah sanggup pula hadir ke Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas.
“Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun khususnya di khalayak ramai. Peliharalah adab dan susila kita, apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah baginda.
