KULAI 19 Ogos – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, akan diumumkan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin minggu depan.
Pengerusi PN Johor, Dr Sahruddin Jamal, berkata nama calon berkenaan sudah ada dan pihaknya hanya menunggu isyarat daripada Pusat sebelum menyusun majlis pengumuman rasmi dua calon PN berkenaan.
“PN Pusat sudah bermesyuarat bagi memuktamadkan calon di dua kerusi berkenaan dan majlis pengumuman calon akan dibuat minggu depan oleh Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu.
Lokasi dan tarikh akan kita umumkan dalam masa terdekat. Kita jangkakan pengumuman akan diadakan di kawasan Parlimen Pulai dalam masa terdekat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersatu Johor, di sini hari ini.
Mengulas mengenai calon PN bagi dua kerusi berkenaan, Dr Sahruddin yang juga Pengerusi Bersatu Johor berkata, setakat ini kedua-dua calon itu adalah anak tempatan.
“Kedua-dua calon berkenaan juga adalah golongan profesional dan dikenali di kawasan masing-masing, ” katanya.
Dr Sahruddin juga memaklumkan beliau dilantik menjadi Pengarah PRK Johor, manakala Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Pengerusi Gerakan Johor, Teo Kok Chee, masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pengarah PRK Johor.
