KUALA PILAH 14 Ogos – Tiada cadangan untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar, Negeri Sembilan setakat ini, kata Menteri Besar Aminuddin Harun.
Bagaimanapun, kata Aminuddin pihaknya sedia mengadakan perbincangan mengenai perkara itu.
Bercakap pada sidang media di Seri Menanti di sini, petang ini, beliau berkata, 10 orang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan dilantik seperti ditetapkan dalam Perlembagaan dan ia mungkin diselesaikan minggu ini.
Katanya, nama calon Exco itu akan dicadangkan parti dalam gabungan masing-masing sebelum dipertimbang dan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Saya akan berunding satu persatu dari segi pembahagian Exco yang bersesuaian dan dipersetujui oleh pucuk pimpinan.
Dari segi muka baharu atau muka lama itu terserah kepada kepemimpinan parti masing-masing, untuk mencadangkan nama mereka, yang penting untuk memastikan kelangsungan pentadbiran negeri,” katanya.
Terdahulu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat, dilantik semula sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dengan Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah jawatan berkenaan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, di sini, petang ini.
Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri berharap gandingan wakil rakyat dalam Kerajaan Perpaduan yang memenangi PRN kali ini dapat menjadi pasukan pelaksana dan penterjemah membangunkan negeri ini.
Beliau berkata, pihaknya berharap pasukan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan dapat dijadikan contoh negeri lain.
“Harapan saya, pasukan ini mampu bekerja dan mampu membuat perubahan, dalam memastikan hak rakyat dan juga pembangunan negeri, dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Mengulas kawasan dimenangi pembangkang, Aminuddin berkata, pihaknya sedia berbincang dalam membantu rakyat di kawasan terbabit.
“Kita selesaikan kerja kita dulu, bagaimanapun kita sedia bincang (bantuan) tapi akan bergantung juga kepada perbincangan,” katanya.
Pada PRN Sabtu lalu, PH menang 17 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala Barisan Nasional (BN) menang 14 kerusi dan lima lagi dimenangi Perikatan Nasional (PN).
