TANAH MERAH 1 Ogos – Kerajaan negeri meneruskan inisiatif menyediakan bas percuma kepada penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan 12 Ogos ini.
Menteri Besar, Ahmad Yakob, berkata perkhidmatan bas percuma seperti dijanjikan tidak dibatalkan kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan negeri kepada pelajar yang kekurangan wang untuk pulang mengundi bukannya mahu membeli undi.
“Kita yang hanya menyediakan perkhidmatan bas percuma pun dikata mahu membeli undi sedangkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pemberian geran di Terengganu, jelas mahu membeli undi, namun dikatakan sebaliknya.
Jika macam itu pun bukan rasuah, jadi yang sebenar rasuah adalah macam mana?” katanya pada sidang media selepas Majlis Ceramah dan Pelancaran Program Perikatan Nasional (PN) “Kelantan Maju Rakyat Sejahtera”, di sini, malam tadi.
Mengikut perancangan awal sebelum ini, tarikh perjalanan pulang bermula 6 hingga 11 Ogos dan tarikh kembali ke destinasi asal pula pada 13 hingga 15 Ogos.
Ahmad yang sebelum ini memberi kebebasan kepada penuntut membuat pilihan mereka sendiri juga memohon pihak berkuasa menjelaskan perkara itu secara terperinci bagi memudahkan sebarang pelaksanaan dilakukan di peringkat negeri.
“Kita di peringkat negeri juga masih lagi kerajaan walaupun kerajaan caretaker dan kita juga boleh melakukannya sebagaimana yang dibuat Kerajaan Pusat. Jika bila kita buat perkara tertentu dikatakan salah pula.
“Maka, biarlah ada panduan jelas berkaitan perkara itu (pemberian sepanjang PRN) sama ada ia berbentuk rasuah atau sebaliknya,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyifatkan tindakan pemberian geran bernilai RM350,000 oleh kerajaan kepada belia Terengganu adalah tidak menyalahi undang-undang atau berunsur rasuah.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, sebagai sebuah kerajaan pemerintah, ia berhak untuk memberi inisiatif yang difikirkan wajar kepada rakyat.
Menurutnya, beliau berasakan tiada isu boleh dikaitkan dengan pemberian geran berkenaan kerana ia adalah satu inisiatif daripada kerajaan.
Ahmad Zahid dalam ucapannya di Terengganu baru-baru ini mengumumkan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH).
“Untuk Majlis Belia Negeri Terengganu saya luluskan RM250,000. Untuk pasukan bermotosikal seluruh negeri Terengganu saya berikan peruntukan sebanyak RM200,000 untuk seluruh motosikal di negeri Terengganu.
“Itu baru saya, lepas ini PM (Perdana Menteri) naik dia akan top up (tambah), akan tambah, asalkan pada 12 Ogos nanti, para belia mengikut gelombang biru dan gelombang merah yang ada di negeri Terengganu boleh?” kata Ahmad Zahid.
