KUALA LUMPUR 1 Ogos – Kenyataan yang tular mendakwa Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dilarang memasuki Arab Saudi kerana ideologi pengganas adalah palsu.
Pas menyifatkan, penyebaran dakwaan sedemikian adalah bukti terdapat pihak yang ketandusan idea untuk bersaing secara demokratik, matang dan bermaruah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.
“Faktanya adalah kenyataan rasmi Arab Saudi menggunakan tahun hijrah, bukan masihi dan Abdul Hadi bukan lagi Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia.
“Ayuh bersama Perikatan Nasional (PN), kita lenyapkan budaya politik yang rendah akal budi seperti ini dan kita bina negara yang bersih dan stabil,” kata Pas dalam kenyataan melalui Facebooknya.
Terdahulu, tular di media sosial sejak semalam satu kenyataan kononnya, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang dilarang memasuki Arab Saudi kerana didakwa mempunyai ideologi pengganas.
