SIK 29 Julai – “Jika saya menang, rakyat akan mengingati saya untuk lima tahun akan datang,” kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Muhamad Khizri Abu Kassim.
Beliau yang akan berdepan dengan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini tidak berasa tertekan atau gentar menghadapi Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu.
Ketua UMNO Bahagian Sik itu, berkata bebanan berkenaan sebenarnya ditanggung Muhammad Sanusi yang mempertahankan kerusi itu bagi penggal kedua.
“Saya tidak tertekan, saya tidak rasa gentar kerana berdepan dengan Menteri Besar daripada Perikatan Nasional (PN). Beban bukan pada saya, tidak hairanlah jika saya kalah tetapi jika saya menang, rakyat akan mengingati saya untuk lima tahun akan datang.
“Sebagai calon bukan pilihan, saya optimis dengan peluang untuk mencabarnya,” katanya selepas pengumuman rasmi calon oleh Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya DUN Jeneri, Mahamad Suhaimi Man di depan Pejabat Daerah dan Tanah Sik, di sini, hari ini.
Khizri berkata, beliau akan cuba mendekati seramai mungkin pengundi sepanjang tempoh kempen yang bermula hari ini.
Sanusi memenangi kerusi Jeneri pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) selepas menewaskan penyandang daripada BN, Mahadzir Abdul Hamid dan calon PH, Mohd Nazri Abu Hassan dengan majoriti 2,455 undi.
