KUALA LUMPUR: Mana-mana individu yang disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 boleh ditahan pada bila-bila masa, termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor apabila siasatan kes 3R (agama, bangsa, raja) terhadapnya yang menjurus kepada akta berkenaan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menjelaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh menahan individu yang disiasat mengikut akta berkenaan pada bila-bila masa kerana ia bukannya ‘non-siezable’ (tak lazim ditahan).
“Seksyen 4 (1) (Akta Hasutan) ini sebenarnya adalah satu kesalahan yang lazim ditahan.. bukannya ‘non-seizable’ (tidak lazim ditahan) dan ia adalah ‘seizable offence (kesalahan yang boleh ditahan).
Sebenarnya, kalau ‘seizable offence’ ini, kalau tanya sayalah, bila-bila kita nak tangkap pun tidak apa, bila-bila pun boleh,” katanya dalam sidang media khas di Bukit Aman di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan demikian berhubung tindakan PDRM menahan Muhammad Sanusi awal pagi inj di sebuah hotel di Mont Kiara sebelum dibawa ke Mahkamah Sesyen/Majistret Selayang untuk dua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948..
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, penahanan terhadap Muhammad Sanusi perlu dibuat kerana tahap kesalahan yang dilakukannya serius kerana ia mencetuskan kegusaran dan rasa tidak puas hati ramai pihak.
“Kes ini kita lihat macam ini, kes-kes 3R ini lebih kurang sama sahaja, lebih kurang kita cakap.. tetapi sifat 3R ini kita pun perlu lihat secara holistik.
“Yang ini (kes Muhammad Sanusi) membabitkan Duli Yang Maha Mulia Yang diPertuan Agong dan juga Sultan Selangor.. dan ketidakpuasan hati oleh Ahli Majlis Diraja Selangor sendiri yang buat laporan.
“Kita nampak ‘degree of (offence) siasatan itu yang akan mendatangkan penghinaan, kebencian dan bangkit perasaan tidak setia terhadap raja-raja,” katanya.
Maka, katanya, PDRM tidak boleh membiarkan perkara sedemikian kerana ia akan menyebabkan sembilan institusi diraja dalam negara ini terdedah kepada penghinaan yang boleh dilakukan sewenang-wenangnya.
