“Buat apa sahaja sekat kemaraan PN”

ALOR SETAR 18 Julai – Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa pimpinan Kerajaan Perpaduan kini sanggup berbuat apa sahaja untuk menyekat kemaraan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bagaimanapun beliau bertekad untuk terus mara mempertahankan Kedah serta memastikan lima negeri yang bakal menghadapi PRN pada 12 Ogos ini dilepaskan daripada pemerintahan kerajaan kakistokrasi.

“Alhamdulillah kita melepasi ujian yang agak mencabar hasil daripada ‘madanon’, dia tak tau nak buat apa dah jadi dia guna apa yang ada untuk menyekat kemaraan kita.

“Sekarang ini kita dipopularkan dengan istilah kakistokrasi iaitu sebuah kerajaan yang ditadbir orang lemah yang tidak berkemampuan untuk mentadbir yang pandai bercakap tapi tak pandai buat.

Kalau dia tak jadi Perdana Menteri kita pun tak tau yang yang dia dok gelembong (tipu) saja, dan hari ini Allah nak tunjuk, dia nak pertahan gelembong dia, dia guna akta drakonian untuk mengenakan kita.

“(Jadi) saya berkongsi sokongan dan kekuatan tuan-tuan (penyokong) kepada saya untuk terus mara dan pertahankan Kedah dan kita pastikan enam negeri ini dilepaskan daripada kakistokrasi,” katanya ketika berucap di hadapan penyokongnya di pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar petang tadi,

Terdahulu, Muhammad Sanusi tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di sini, pada pukul 4.30 petang tadi.

Ketibaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu disambut lebih 1,000 penyokong PN yang berkumpul di Balai Ketibaan LTSAH seawal pukul 3 petang.

Muhammad Sanusi berkata, beliau yakin rakyat Kedah tidak akan terpengaruh dengan segala propaganda dan fitnah di atas perkara yang diada-adakan.

Justeru, Menteri Besar Kedah itu berharap rakyat negeri itu sentiasa menjaga disiplin untuk kekal sihat untuk keluar mengundi pada 12 Ogos ini selain setia menyokong PN.

Muhammad Sanusi pagi tadi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Beliau turut berhadapan satu lagi pendakwaan di Mahkamah Sesyen Selayang, atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Related posts

Leave a Comment