SELAYANG 18 Julai – Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan pendakwaan kes terhadapnya bertujuan menjejaskan peluangnya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.
Beliau berkata, rakyat boleh memahami hasrat pihak tertentu yang dilihat mahu menyegerakan pendakwaan keatasnya dalam tempoh tiga hari siasatan dibuat.
“Saya diambil jam 3 pagi, tanpa sebarang notis, saya hanya tahu didakwa melalui media, Berita Harian Online dan saya bersedia menghadapi kes ini,” katanya selepas berakhirnya prosiding pendakwaan kesnya di Mahkamah Sesyen, di Selayang.
Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata, beliau memberi jaminan kepada pihak tertentu untuk hadir ke mahkamah pagi ini tetapi pihak berkenaan tetap mengambilnya pukul 3 pagi di apartmen penginapannya.
Katanya, sewaktu tangkapan terdapat satu kes lagi disiasat yang berkaitan dengan satu ucapan lain.
“Nampaknya di Malaysia ini tidak boleh bercakap apa, kalau di medan politik biasanya orang akan selesai di medan politik juga. Berikan hujah balas kepada perbincangan kita tetapi oleh kerana kita ada kerajaan yang takut, dia guna polis untuk tahan atau sekat ucapan kita,” katanya.
Justeru, Muhammad Sanusi membidas tindakan ahli politik yang dilihat seolah-olah ‘muflis’ kerana menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat kemaraan rakyat.
“ Saya harap ini adalah petunjuk atau petanda bahawa mereka sebenarnya sedang ketakutan dan segala jentera, agensi awam akan diguna untuk menyekat perkembangan, kehangatan rakyat.
“Saya berharap enam PRN ini akan dimenangi Perikatan,” katanya,
Sementara itu laungan ‘Hidup Datuk Seri.. takbir!’ oleh kira-kira 100 penyokongnya bergema di pintu pagar utama Mahkamah Sesyen dan Majistret ketika Menteri Besar Kedah itu bertemu mereka sebaik prosiding pertuduhan selesai.
Sebaik beredar dari pekarangan mahkamah, Muhammad Sanusi turun dari kenderaan dinaikinya untuk bertemu kumpulan penyokong yang menunggunya di pintu pagar utama sejak pukul 9 pagi.
Muhammad Sanusi meluangkan masa kira-kira dua minit bersama penyokongnya sebelum beredar.
