Kes Sanusi disebut semula 4 Oktober

SELAYANG 18 Julai – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, pagi ini atas tuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam satu ceramah politik, minggu lalu.

Beliau yang berkemeja putih dan berseluar hitam kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah terhadapnya, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin.

“Faham Yang Arif… Tidak (mengaku salah),” katanya.

Muhammad Sanusi, 48 yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri, Kedah itu dituduh melakukan kesalahan terbabit di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perenggan 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Peguam Cara Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh, manakala peguam Datuk Shaharudin Ali dan Wan Rohimi Wan Daud bertindak bagi pihak Muhammad Sanusi.

Media baru-baru ini melaporkan ucapan Muhammad Sanusi pada satu ceramah politik di Selangor dikatakan menghina institusi diraja Selangor.

Muhammad Sanusi dalam video ucapannya yang tular dikatakan menghina Sultan Selangor ketika membandingkan urusan pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Kedah dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

Pada 13 Julai, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada sidang media khas berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan terhadap Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional itu berhubung kenyataannya yang didakwa menyentuh isu 3R iaitu agama, raja dan kaum dalam ceramah politiknya.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Muhammad Sanusi didakwa melakukan kesalahan sama iaitu mempertikaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara, Kampung Bendahara, di sini, jam jam 11 malam pada 11 Julai lalu.

Faham faham Yang Arif.. Tak salah Yang Arif,” katanya selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Ahmad Terrirudin menawarkan wang jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 terhadap Muhammad Sanusi dan memohon perintah larangan bersuara kepada tertuduh untuk tidak mengeluarkan sebarang komen mengenai kes ini sehingga kes selesai.

Wang jaminan berkenaan tidak dibantah oleh Shaharudin.

“Kami menerima jumlah dicadangkan, namun dua hujahan pendek kami ialah tertuduh ketua caretaker kerajaan negeri Kedah dan beliau mengetuai pilihan raya kecil negeri,” katanya.

Nor Rajiah dan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh kemudian membenarkan Muhammad Sanusi diikat jamin dengan wang jaminan masing-masing sebanyak RM5,000 dan memerintahkan beliau tidak mengeluarkan komen mengenai kes ini sehingga kes selesai.

Kedua-dua mahkamah itu kemudian menetapkan 4 Oktober ini bagi tarikh sebutan untuk kedua-dua pertuduhan.

Related posts

Leave a Comment