Singapura jangka kes meningkat

SINGAPURA mengesahkan 908 kes baharu jangkitan Covid-19 dalam tempoh 24 jam dengan majoriti melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, kebanyakan pekerja telah diuji semasa tempoh pengasingan atau kuarantin. Mereka adalah kumpulan pekerja terakhir yang diuji dan dari asrama dengan risiko jangkitan yang tinggi.  

Oleh itu, kementerian menjangkakan kes harian akan meningkat dalam masa beberapa hari akan datang.

Ketika ini terdapat 9,700 pekerja di kemudahan kuarantin ini. Mereka akan menjalani tempoh pengasingan selama 14 hari.

Menurut MOH, terdapat empat kes dalam komuniti dan empat import  hari ini menjadikan jumlah keseluruhan  54,254 kes.

INDONESIA terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 apabila 1,815 kes baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kumulatif 116,871 kes.

Menurut data di laman sesawang rasmi pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19, www.covid19.go.id hari ini, sebanyak 94,593 pesakit masih dalam pemantauan.

Bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 64 lagi kematian dicatatkan, menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 5,452 orang.

Jawa Timur mencatatkan kes positif keseluruhan tertinggi iaitu 23,829 kes, diikuti Jakarta (23,380) dan selebihnya di 32 provinsi yang lain.

Provinsi Jawa Timur juga mencatatkan jumlah kematian keseluruhan tertinggi iaitu 1,799 orang, diikuti Jakarta (888), Jawa Tengah (680), Sulawesi Selatan (329) dan selebihnya di wilayah lain.

FILIPINA setakat pukul 4 petang 5 Ogos 2020, merekodkan 3,462 kes baharu Covid-19 yang membawa jumlah keseluruhan kes sebanyak 115,980.

Menurut Jabatan Kesihatan (DOH), kes aktif adalah 47,587 manakala sembilan kematian dicatatkan menjadikan jumlah korban setakat ini 2,123 kes

DOH juga mengumumkan sebanyak 222 pesakit sembuh yang membawa jumlah keseluruhan sembuh kepada 66,270.

THAILAND merekodkan tujuh kes koronavirus Covid-19, semuanya melibatkan mereka yang dikuarantin selepas pulang dari luar negara iaitu Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Amerika Syarikat (AS). Jumlah keseluruhan kes adalah 3,328.

Kes pertama melibatkan wanita Thailand berusia 34 tahun yang tiba dari UAE pada 29 Julai, lima lagi penuntut melibatkan wanita, 21 dan empat  lelaki (22, 23, 26 dan 30) kesemuanya penuntut di Mesir. Mereka tiba dari Kaherah pada 30 Julai

Satu kes lagi melibatkan wanita AS, seorang guru 28 tahun yang tiba 31 Julai lalu.

Setakat ini 3,144 pesakit pulih manakala 126 masih di hosputal. Jumlah kematian kekal 58 sejak 2 Jun lalu.

Related posts

Leave a Comment