PUTRAJAYA: Malaysia akan terus mencari kebenaran dan menegakkan keadilan kepada semua mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) penerbangan MH17 yang ditembak jatuh sembilan tahun lalu iaitu pada 17 Julai 2014.
Kementerian Pengangkutan (MOT) dalam satu kenyataan memaklumkan, Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang bermesyuarat kali ke-228 pada 17 Mac lalu sudah memutuskan untuk meneruskan pendengaran ‘Settlement of Differences’ antara pihak berkaitan.
Menurut kenyataan itu, kes jenayah berhubung kejadian menembak jatuh pesawat MH17 sudah diputuskan oleh Mahkamah Daerah The Hague pada 17 November 2022.
“Keputusan itu menandakan satu peristiwa penting dalam mendedahkan kebenaran dan menegakkan keadilan untuk semua 298 mangsa dan waris mereka, termasuk 43 rakyat Malaysia yang berada di dalam pesawat berkenaan.
Bagaimanapun, usaha untuk mencari keadilan tidak berakhir dengan perkembangan ini sahaja,” kata kenyataan itu sempena memperingati tahun kesembilan kejadian.
Kementerian Pengangkutan juga merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada semua waris mangsa nahas pesawat MH17.
MH17 ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014 menyebabkan semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.
Penumpang lain membabitkan rakyat Australia, Britain, Malaysia dan Indonesia.
Tahun lalu, Mahkamah Daerah The Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Russia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh MH17.
Dua warga Russia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko, turut didakwa menyebabkan semua 298 penumpang dan kru terbunuh.
Hakim Hendrik Steenhuis yang membacakan ringkasan penghakiman turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki itu membayar pampasan kepada ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata, peluru berpandu Buk Telar dibawa ke Ukraine atas inisiatif Dubinsky, selaku pegawai memerintah dalam Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan pegawai memerintah dalam DPR.
