PUTRAJAYA 29 Jun – Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di dalam pengangkutan awam dan fasiliti kesihatan termasuk hospital, mulai Rabu, 5 Julai, katan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Bagaimanapun dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata individu positif Covid-19 dikehendaki (tidak diwajibkan) memakai pelitup muka ketika di klinik atau hospital serta di dalam pengangkutan awam.
Pemakaian pelitup muka juga amat digalakkan berdasarkan penilaian kendiri bagi individu berisiko tinggi, semasa dalam pengangkutan awam dan individu yang bergejala respiratori.
Menurut Dr Zaliha, arahan tempoh pengasingan kes Covid-19 juga dipendekkan dari tujuh kepada lima hari dari onset gejala pertama, juga berkuat kuasa Rabu depan.
Beliau berkata, penetapan itu sebahagian daripada kelonggaran garis panduan Covid-19 berdasarkan perlanjutan pengisytiharan Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan dan kemas kini protokol Covid-19.
“Susulan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 5 Mei lalu berkenaan status Covid-19 yang tidak lagi menjadi Kecemasan Kesihatan Awam Yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC), Kementerian Kesihatan (KKM) membuat semakan semula dan mengemas kini SOP berdasarkan penilaian situasi semasa jangkitan Covid-19 di negara ini.
Walaupun beberapa kelonggaran kepada prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 diberikan ketika Fasa Peralihan dari pandemik Covid-19 yang bermula sejak 1 April 2022, KKM terus melaksanakan pelbagai dasar dan aktiviti kawalan dan pencegahan bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti,” katanya.
Beliau berkata, kes baharu Covid-19 menurun 53.5 peratus, kematian berkurang 35.3 peratus sejak lima minggu kebelakangan ini.
Mengenai pemakaian pelitup muka, beliau berkata, arahan itu hanya dikehendaki ke atas pesakit positif Covid-19 dan kepada petugas kesihatan mengikut amalan kawalan dan pencegahan jangkitan semasa berhadapan atau mengendalikan pesakit.
Katanya, SOP sebelum ini mewajibkan pemakaian pelitup muka ke atas pesakit Covid-19, semasa berada di dalam pengangkutan awam (kecuali kapal terbang) dan di kemudahan kesihatan.
Merujuk individu berisiko tinggi, mereka adalah warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung, terutama ketika berada di tempat sesak atau yang mempunyai pengudaraan kurang baik.
“Selain itu, individu yang bergejala respiratori juga digalakkan memakai pelitup muka bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, bas atau van pekerja dan bas, van sekolah,” katanya.
Sementara itu, Dr Zaliha memaklumkan, status Kawasan Tempatan Jangkitan di Malaysia yang berakhir esok, dilanjutkan enam bulan lagi iaitu sehingga 31 Disember.
“Perlanjutan Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan bagi membolehkan penguatkuasaan beberapa peruntukan di dalam Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan ke Endemik) 2022 [P.U.(A) 83/2022] yang digubal atas kuasa Menteri di bawah subseksyen 11(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
“Perlanjutan pengisytiharan Malaysia sebagai Kawasan Tempatan Jangkitan juga masih diperlukan memandangkan terdapat risiko kemunculan varian dan subvarian baharu virus SARS-CoV-2 di negara ini.
“Selain itu, perhimpunan ramai ketika sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini dan seterusnya pada Pilihan Raya Negeri, mungkin berisiko menyumbang kepada peningkatan kes dan membebankan sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan, jika langkah kawalan dan pencegahan tidak dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.
Katanya, KKM akan terus memantau situasi Covid-19 dan juga varian yang dilaporkan untuk mengambil tindakan segera dan wajar apabila diperlukan.
“KKM menasihatkan orang ramai untuk terus mengamalkan kawalan kendiri yang baik seperti yang diamalkan pada masa ini, termasuk memastikan kebersihan diri, bagi mengelakkan daripada dijangkiti penyakit berjangkit termasuk Covid-19.
“Orang ramai perlu memikul tanggungjawab individu yang lebih besar bagi melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi seluruh komuniti terutamanya golongan berisiko tinggi,” katanya.
Untuk rekod, Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 2020 akibat penularan pandemik Covid-19 sebelum memasuki Fasa Peralihan Endemik pada 1 April tahun lalu.
