KLANG 19 Jun – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu, Jumaat ini 23 Jun 2023, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pada Istiadat Pembubaran DUN Selangor di Balai Dewan Diraja, Istana Alam Shah di sini hari ini, baginda turut berkenan menandatangani proklamasi pembubaran DUN Selangor.
Terdahulu, Menteri Besar Amirudin Shari menghadap baginda bagi memohon perkenan pembubaran DUN negeri itu.
Sultan Sharafuddin ketika bertitah pada istiadat itu menegaskan, walaupun tarikh pembubaran berkuatkuasa 23 Jun, namun istiadat diadakan lebih awal kerana baginda akan menunaikan fardu haji esok dan kembali ke tanah air pada 4 Julai.
Baginda juga berkenan memaklumkan kepada Ahli-Ahli Dewan di-Raja Selangor dan rakyat jelata bahawa pada 28 Julai, baginda akan berangkat ke London untuk menjalani rawatan dan pembedahan (surgery) Holmium Laser Enucleation of the Prostate (HoLEP) yang akan diketuai oleh Dr. Tev Aho.
Baginda dijangka akan kembali ke tanah air pada 15 Ogos 2023, dan sekiranya kesihatan Baginda mengizinkan, Baginda akan berangkat balik lebih awal daripada tarikh yang berkenaan.
Justeru baginda berharap rakyat dapat mendoakan agar Allah Subhanahu Wata’ala mempermudahkan segala urusan baginda dan Tengku Permaisuri Selangor ketika menjalankan ibadah haji dan memperoleh haji yang mabrur.
Baginda juga berharap rakyat dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan baginda ketika menjalani rawatan di London dan kembali sembuh seperti sediakala.
Istiadat Pengisytiharan Pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini turut disaksikan oleh Raja Muda Selangor, Ahli-ahli Dewan di-Raja dan Orang Besar Istana dan Orang Besar Daerah.
