Segera laksana reformasi ekonomi – PM

PUTRAJAYA 19 Jun – Semua pihak perlu bergerak sebagai satu pasukan ke arah mempercepatkan pelaksanaan reformasi dan inisiatif ekonomi yang dirancang, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Pendirian itu dibuat hasil Mesyuarat Khas Perdana Menteri bersama anggota Jemaah Menteri dan Ketua Setiausaha Kementerian mengenai Kajian Separuh Penggal, Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata KSP RMK-12 perlu menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam menyelesaikan masalah rakyat susulan perubahan dan cabaran sosioekonomi semasa.

“(Oleh itu) Input daripada semua kementerian akan diambil kira dalam penyediaan KSP RMK-12 ini.

Sehubungan itu, semua kementerian perlu lebih serius dan bertindak lebih proaktif, agresif serta berani bagi menyelesaikan isu pelaksanaan dasar, terutama berkaitan rakyat mengikut lunas perundangan sedia ada,” katanya menerusi catatan di Facebook hari ini.

Anwar berkata, mesyuarat khas berkenaan diadakan bagi membincangkan hala tuju baharu (2023–2025) yang perlu dibentangkan dalam KSP RMK-12 bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan berada di landasan yang tepat ke arah mencapai agenda Malaysia Madani.

“KSP RMK-12 adalah dokumen dasar yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, kerohanian dan kebendaan berteraskan nilai murni,” katanya

Related posts

Leave a Comment