KUALA LUMPUR 13 Jun – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 3 dijangka disalurkan kepada penerima yang layak sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha hujung bulan ini.
Beliau berkata, bayaran tersebut melibatkan peruntukan melebihi RM2 bilion dan akan memanfaatkan lapan juta penerima yang akan menerima antara RM100 hingga RM1,300.
“Selain itu, (bayaran) e-Tunai Belia Rahmah RM200 kepada belia (berusia) 18 sehingga 21 tahun akan disalurkan sebelum minggu ketiga bulan ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) mengenai pembaharuan dibuat kerajaan dalam pendekatan serta tatakelola undang-undang atau peraturan bagi mengekang ketirisan wang awam, selain meminta Perdana Menteri menyatakan juga pelaporan perbelanjaan dan pemantauan belanjawan negara.
Perdana Menteri juga memaklumkan untuk meringankan beban kos sara hidup! kerajaan sudah membelanjakan RM158 bilion atau 41 peratus daripada keseluruhan peruntukan dalam Belanjawan 2023 setakat bulan lalu.
Beliau berkata, ia juga kapasiti perbelanjaan terbaik direkodkan bagi tempoh suku pertama berbanding tempoh sama pada tahun-tahun sebelum ini.
Katanya, perbelanjaan itu antara lain termasuklah RM3 bilion bagi bayaran STR fasa pertama dan kedua kepada 8.7 juta penerima, selain RM2.6 bilion bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam dan lebih sejuta pesara.
Ia juga merangkumi lebih RM3 bilion perbelanjaan subsidi elektrik kepada 9.7 juta pengguna, lebih RM11 bilion subsidi petrol RON95, diesel dan gas cecair memasak, serta lebih RM800 juta Bantuan Awal Persekolahan kepada lebih lima juta murid.
“Pengecualian setem 100 peratus diberi bagi pembelian rumah berharga tidak lebih RM500,000, pengecualian duti setem 75 peratus untuk pembelian rumah berharga di antara RM500,000 hingga RM1 juta.
“Duti setem ke atas surat pindah milik harta tanah serta secara kasih sayang melibatkan ibu bapa anak, datuk, nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada satu juta pertama nilai harta tanah,” katanya.
Berhubung pembaharuan diperkenalkan, Anwar memaklumkan arahan baharu di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan termasuklah memastikan perolehan dijalankan secara telus dan terbuka serta menghentikan rundingan terus yang menguntungkan parti politik dan peribadi.
Selain itu, katanya, melaksanakan subsidi secara bersasar juga antara tumpuan kerajaan dengan memastikan orang kaya tidak lagi menikmati bantuan berkenaan, selain menggesa penguatkuasaan lebih tegas bagi mengatasi isu ketirisan hasil dan subsidi angkara sindiket penyeludupan.
“Kerajaan juga menamatkan unsur monopoli seperti dwi-rangkaian perkhidmatan 5G dan juga import barang makanan yang menyebabkan harga lebih rendah berbanding beberapa tahun yang lalu,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan turut memperkenalkan pembaharuan di Parlimen dengan memulakan duluan dengan membahaskan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) serta Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
“Ada yang bimbang kerana ini (perbahasan LKAN dan laporan SUHAKAM) bukan duluan. PMQ begini pun bukan duluan tapi tidak dibantah, begitu juga LKAN tiada duluan, tetapi boleh dilakukan. Yang baik apa salahnya.
“Lebih penting ialah Akta Tanggungjawab Fiskal serta Akta Perolehan Kerajaan akan dibentangkan (di Dewan Rakyat), sebaiknya sebelum akhir tahun ini,” katanya.
Berhubung soalan tambahan Noraini yang bertanya sama ada projek sedia ada dan baharu akan menjadi lewat akibat pelaksanaan tender terbuka, Perdana Menteri memaklumkan perkara itu diatasi menerusi pelaksanaan tender terbatas di peringkat pejabat daerah serta negeri.
Sebagai contohnya, katanya, pejabat daerah dibenarkan membuat tender terbatas bagi projek baik pulih sekolah dan klinik daif jika kos tidak melebihi RM1 juta, selain Jabatan Teknik Sarawak dan Sabah boleh melaksanakan projek dengan kos tidak lebih RM50 juta tanpa perlu merujuk Kerajaan Persekutuan.
“Saya bersetuju dengan kebimbangan Yang Berhormat Parit Sulong (Noraini) mengenai kelewatan pelaksanaan projek, tetapi perlu ingat dalam puluhan kes rundingan terus ini, kerja mengambil komisyen serta ‘menyakau’ wang rakyat terlalu berleluasa dan ini harus dihentikan,” katanya.
