KUALA LUMPUR 13 Jun – “Apa yang mahu kami rayukan”, soal bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berhubung ‘undangan’ Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada pemimpin yang dipecat dan digantung untuk menyertai semula parti itu.
Beliau senada dengan kenyataan bekas Naib Presiden, Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Bahagian Tebrau, Maulizan Bujang yang sangsi dengan keikhlasan jemputan itu.
“Ini kerana kami tidak tahu atas alasan apa kami dipecat dan digantung…kita tidak tahu tindakan apa yang melayakkan kami dipecat dan digantung, apa yang mahu kami rayukan,” katanya dalam program Podcast Keluar Sekejap bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Khairy berkata, beliau masih ragu kerana tidak tahu atas sebab apa beliau dipecat dan apakah rayuan yang perlu dibuat, walaupun ada kenyataan dari Ketua Pemuda, Dr Muhamad Akmal Saleh dan beberapa perwakilan lain termasuk dari Sabah dan Johor yang mencadangkan parti ‘memujuk’ semula ahli yang dipecat dan digantung.
“Seperti yang disebut oleh Hishammudin, perkara ini tidak pernah dibawa ke Lembaga Displin parti dan tidak melalui proses yang betul, jadi kita nak merayu apa,” katanya.
Khairy berkata, beliau tidak akan melakukan sesuatu yang drastik dan ekstrim untuk patuh kepada UMNO sambil menjelaskan prinsip itu bukanlah terjemahaan keegoan mereka.
Bagi Shahril pula, perkara yang sudah berlalu tidak boleh diubah dan berterima kasih kepada ahli yang sentiasa memberi sokongan dan meminta mereka kembali kepada parti,
“Keputusan itu dibuat oleh Presiden parti, secara teknikalnya Majlis Kerja Tertinggi tetapi hakikatnya itu adalah keputusan Presiden,” tegasnya:yang menyatakan beliau tidak mempunyai apa-apa masalah peribadi dengan Presiden UMNO.
Menurut Shahril, beliau sudah menyuarakan apa yang dirasakan perlu untuk UMNO terus ke hadapan, tetapi Presiden tidak menerima dan seterusnya membuat keputusan menggantung keahliannya atas nasihat orang tertentu.
“Jadi saya terima sahaja keputusannya itu. Namun jika kami diminta mencontohi Lokman Adam barulah diterima semula, jika itulah yang dianggap yang baik, saya rasa tak apalah saya terus diluar dan UMNO teruskanlah apa Presiden rasa terbaik,” katanya.
Shahril berkata, pintu untuk beliau kembali kepada UMNO tidaklah tertutup sepenuhnya tetapi beliau tidak mahu merumitkan dan menyusahkan Presiden parti kerana masih ramai ahli UMNO yang tidak menerima ahli yang sudah dipecat atau digantung.
Khairy dan Shahril sempat berseloroh UMNO sudah ada acuan di mana bekas ahli UMNO kini masih boleh bersama UMNO seperti Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
