Tanam padi lima musim dalam dua tahun

KUALA LUMPUR 10 Jun – Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan meningkatkan pengeluaran padi melalui kaedah penanaman lima musim dalam tempoh dua tahun, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Katanya, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN) juga bersetuju memodenkan aktiviti penternakan dengan pelaksanaan sistem ternakan tertutup bagi pengurusan ladang produktif dan selamat.

Anwar berkata, dua perkara itu adalah antara yang dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (JKSMN), semalam.

“JKSMN berperanan merangka dasar dan strategi sekuriti makanan yang lebih holistik dan mampan untuk negara,” katanya melalui Facebooknya.

JKSMN bersidang buat kali pertama semalam bagi mengetengahkan hasrat Kerajaan untuk mengambil pendekatan berpaksikan kesinambungan bekalan makanan negara agar kekal terjamin.

Turut hadir Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup,  Salahuddin Ayub .

Berkaitan cadangan untuk meningkatkan produktiviti penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun, Anwar berkata kerajaan akan menilai kaedah pelaksaan bagi memastikan cadangan dapat direalisasikan dengan segera.

Katanya, Mesyuarat JKSMN kali ini turut memberi tumpuan memperkukuhkan sekuriti makanan negara, mengambil kira faktor-faktor yang memberi kesan kepada pertanian negara.

“Ia seperti perubahan iklim, kekangan sumber, konflik geopolitik, kemudahsampaian makanan, jurang pendapatan dan amalan pemakanan,” katanya.

Anwar berkata, mesyuarat juga membincangkan usaha mempertingkatkan peranan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam menjadi agensi utama menjamin ketersediaan bekalan makanan negara.

Related posts

Leave a Comment