Jokowi santuni rakyat di Chow Kit

KUALA LUMPUR 8 Jun – Jika semalam Presiden Joko Widodo ‘disambut’ warganegara Indonesia di hotel penginapannya, hari ini beliau ‘turun padang’ melawat Pasar Chow Kit yang mendapat perhatian para pekerja dan pengunjung warga Indonesia.

Jokowi yang tiba bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari disambut dengan sorakan, sehingga ada dalam kalangan pekerja sanggup meninggalkan kedai jualan untuk merakamkan kehadiran Jokowi.

Individu yang digelar ‘bapak negara’ itu turun dari kenderaan dan melambaikan tangan serta bersalaman dengan warga Indonesia terbabit.

Pada masa sama, pekerja Indonesia berkenaan turut melaungkan nama Anwar yang mengiringi Jokowi dan presiden turut berhenti beberapa kali untuk melakukan sendiri ‘swafoto’ bersama rakyat negaranya.

Sejurus tiba di laluan belakang pasar itu, warga Indonesia dilihat turut menyanyikan lagu kebangsaan republik itu.

Dalam pada itu, Perdana Menteri pada sidang media petang ini memuji Jokowi yang memilih untuk menyantuni rakyat di Chow Kit, Kampung Baru di ibu negara sebaik sahaja selepas pertemuan di Putrajaya.

Acara presiden hari ini luar biasa, santai. Saya tanya mahu ke mana, Jokowi beritahu ingin ke Chow Kit, Kampung Baru.

“Itulah sosok Presiden Indonesia, selain ke istana petang ini, pilihannya masih ke medan rakyat di Kuala Lumpur. Bapak tetap keluarga dan sahabat, kami anggap jasa seperti mana (ketika) terperosok di penjara dan keluar, Jokowi masih dianggap sahabat sejati,” ujarnya.

Sementara itu Anwar dalam catatan Facebooknya berkata, tidak kurang 2,000 orang termasuk peniaga dan pekerja yang berasal dari Indonesia berada di lokasi sambil tidak melepaskan peluang bergambar merakam saat bersejarah ini.

“Kami turut singgah di Kafe Masa, sebelum ke Restoran Samudera Kampung Baru untuk makan tengah hari dalam suasana penuh santai dan harmoni.

Moga lawatan kerja Bapak Jokowi dan rombongan ke Malaysia kali ini meninggalkan 1,001 kenangan indah dalam menyuburkan hubungan dua hala kedua-dua negara,” katanya.

Related posts

Leave a Comment