Jokowi hargai komitmen Anwar

PUTRAJAYA 8 Jun –  Presiden Indonesia, Joko Widodo, menghargai komitmen diberikan  Seri Anwar Ibrahim, yang mahu melindungi pekerja dari negaranya dengan kedua negara sepakat membentuk satu mekanisme khusus bagi menyelesaikan isu migran di negara ini.

Selain itu Jokowi juga meminta supaya diwujudkan segera satu pusat pembelajaran komuniti dan warga negara Indonesia yang kini ditahan di Depoh Imigresen untuk segera dipulangkan.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media yang diadakan di Kompleks Seri Perdana sempena lawatannya ke Malaysia.

Terdahulu, Jokowi dan Anwar turut menyaksikan pertukaran dokumen bagi enam instrumen yang dimeterai hari ini bagi memperkasakan hubungan kerjasama kedua-dua negara.

Antara instrumen yang dimeterai ialah membabitkan perjanjian rentas sempadan, perdagangan sempadan, kerjasama promosi dan pengiktirafan bersama pensijilan halal bagi produk domestik.

Menurut Jokowi, Malaysia dan Indonesia juga seharusnya memperkuatkan jalinan kerjasama bagi mengekang diskriminasi negara luar berkaitan keluaran komoditi negara.

“Saya sangat hargai baru-baru ini Indonesia dan Malaysia menjalinkan kerjasama untuk melawan diskriminasi kelapa sawit dan komoditi lain.

“Kerjasama seumpama ini harus diperkuatkan, jangan sampai hasil komoditi oleh kedua-dua negara didiskriminasi oleh negara lain,” katanya.

Beliau juga menyambut baik penyelesaian rundingan berkaitan Laut Sulawesi yang dapat diselesaikan hari ini.

“Selepas 18 tahun proses rundingan diadakan, Alhamdulillah hari ini ia dapat diselesaikan. Saya juga berharap rundingan perbatasan yang lain termasuk Pulau Sebatik dan lainnya, juga dapat diselesaikan kelak.

“Harapnya, Perdana Menterinya masih Datuk Seri Anwar dan Presiden Indonesianya masih Jokowi,” katanya.
Usai urusan rasmi kami di Putrajaya, saya dan Presiden Indonesia Bapak Joko Widodo melawat ke Pasar Jalan Raja Alang, Chow Kit sambil menyantuni masyarakat setempat.

Tidak kurang 2,000 orang termasuk peniaga dan pekerja yang berasal dari Indonesia berada di lokasi sambil tidak melepaskan peluang bergambar merakam saat bersejarah ini.

Kami turut singgah di Kafe Masa, sebelum ke Restoran Samudera Kampung Baru untuk makan tengah hari dalam suasana penuh santai dan harmoni.

Moga lawatan kerja Bapak Jokowi dan rombongan ke Malaysia kali ini meninggalkan 1,001 kenangan indah dalam menyuburkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

#MalaysiaMADANI

Related posts

Leave a Comment