KUALA LUMPUR 8 Jun – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat melakukan kunjungan mengejut ke atas Kamala Das yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 pada Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka, Isnin lalu.
Turut berangkat mengiringi Seri Paduka ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Menurut catatan Facebook Istana Negara hari ini, dalam kunjungan yang bermula pukul 11.30 pagi itu, Seri Paduka berdua telah berkenan meluangkan masa selama sejam di rumah Kamala di Taman Utama, Ampang, Selangor.
Selain bertanya khabar dan beramah mesra dengan beliau dan keluarga, Seri Paduka berdua turut berkenan menzahirkan ucapan tahniah dan ucap selamat secara peribadi kepada Puan Kamala Das.
“Puan Kamala Das telah menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-100 beliau yang jatuh pada hari ulang tahun keputeraan rasmi Seri Paduka, Isnin lalu,” menurut catatan itu.
Seri Paduka berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan cendera kenangan kepada Kamala, yang juga ibu bekas wartawan sukan, Datuk George Das, sempena ulang tahun kelahiran beliau.
Dilahirkan pada 5 Jun 1923 di Tapah, Perak, Kamala memiliki 11 anak, 21 cucu serta 21 cicit. Suami beliau, GA Das meninggal dunia ketika berusia 62 tahun pada 1972.
