KUALA LUMPUR 31 Mei – Masjid dan surau seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta melaksanakan solat hajat esok (Khamis) bagi memohon kesejahteraan buat negara dan masyarakat berikutan cuaca panas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar, dalam kenyataan hari ini berkata, masjid dan surau di bawah dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) turut diminta berbuat demikian.
“Negara sedang berhadapan keadaan cuaca panas dan kering yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat dalam urusan seharian.
Sehubungan itu, kita harap rakyat Malaysia terus berdoa supaya cuaca kembali dalam keadaan baik.
Saya telah meminta masjid-masjid di bawah seliaan Jakim iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, untuk melaksanakan solat hajat pada 1 Jun,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi (Metmalaysia) melaporkan, bilangan lokaliti yang merekodkan status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga meningkat kepada 14 daerah hari ini berbanding sembilan yang dilaporkan semalam.
Kawasan yang merekodkan status cuaca panas tahap satu di Semenanjung termasuk Batang Padang di Perak; Jempol di Johor; Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan selain Kuala Selangor di Selangor.
Cuaca sama turut direkodkan di Pahang membabitkan daerah Raub, Bentong, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera dan Kuantan manakala dua kawasan di Sabah iaitu Beaufort dan Kinabatangan.
Status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dikeluarkan bagi suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah selsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
