KUALA LUMPUR 27 Mei – Raja dan sultan yang ditabalkan sebagai ketua negara atau Yang di-Pertuan Agong, memiliki kedudukan dan keupayaan mendaulatkan negeri atau wilayah pemerintahannya serta memberi perlindungan kepada rakyat.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah raja wajib menjunjung amanah pemerintahan, melaksanakan keadilan untuk kesejahteraan rakyat berlandaskan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Titah baginda, berpandukan ajaran Islam, kedaulatan, ialah milik mutlak Allah SWT, seorang raja hanyalah pemegang amanah.
“Jawatan yang disandang merupakan tugas untuk memenuhi tanggungjawab fardu kifayah, melaksanakan amanah Allah SWT bertunjangkan keadilan, syura dan bai’ah,” titah baginda pada Majlis Pelancaran Buku ‘Kedaulatan Malaysia: Governan Utama Negara’, di Hotel Seri Pacific, di sini, hari ini.
Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara, Prof Dr Abdul Latiff Abu Bakar dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Ahmad Zaini Kamaruzzaman.
Sultan Nazrin turut bertitah, melaksanakan keadilan dan memastikan keadilan dilaksanakan adalah tanggungjawab paling utama raja pemerintah.
Baginda berkata, governan atau tadbir urus yang bertunjangkan keadilan, berlandaskan undang-undang dan berpandukan syura adalah budaya pemerintahan yang telah lama diamalkan oleh raja Melayu.
“Dalam hasrat memenuhi peranan dan menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan, raja perlu memahami degup jantung dan denyut nadi rakyat, terutama untuk menghadapi rakyat yang semakin celik huruf, semakin terdedah, rakyat yang didewasakan dalam persekitaran teknologi dan era komunikasi yang begitu pesat berubah.
“Oleh itu, takhta (institusi istana) tidak boleh berada dalam isolasi, sebaliknya memahami, menghargai, dan menghayati harapan tinggi rakyat yang memohon takhta berperanan sebagai penimbang tara yang adil lagi saksama, tidak memihak dan kekal mencuar tinggi di atas segala polemik politik kepartian,” titah baginda.
Sultan Nazrin turut bertitah, institusi istana turut berperanan mengharmonikan perbezaan dan kemahuan yang pelbagai dengan ada kalanya ia bertentangan serta bercanggah dengan anutan agama, latar belakang, kaum dan budaya dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Menurut baginda, peranan dan tanggungjawab berat ini tidak mungkin dapat dilakukan secara bersendirian.
Oleh itu raja pemerintah perlu mendapat sebaik nasihat dan sebijak pandangan daripada ulama dan barisan umara yang berilmu, berpengetahuan, berpengalaman dan bijaksana, juga memiliki sifat berterus terang, ikhlas dan jujur.
Titah baginda, Raja Ali Haji memperingatkan amat penting raja melantik wazir, mufti, amir dan kadi daripada orang yang berkebolehan dan memiliki sifat-sifat terpuji agar berupaya menyembahkan nasihat kepada raja secara betul, ikhlas dan jujur.
Baginda menegaskan, doktrin raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen mengandungi semangat luhur yang perlu difahami.
Titah baginda jika semangatnya difahami, dihayati lalu diamalkan, ia akan mewujudkan sistem pemerintahan yang saling imbang mengimbangi dan sistem berkerajaan yang saling lengkap melengkapi.
“Doktrin raja berperlembagaan demokrasi berparlimen apabila difahami, dihayati dan diamalkan, berupaya menjadi sauh membantu mewujudkan kerajaan yang stabil, kerajaan yang mengamalkan budaya tadbir urus yang telus dan terpuji, kerajaan yang mendapat keyakinan, penerimaan dan sokongan rakyat.
“Sesungguhnya, takhta (institusi istana) berupaya dan bersedia memenuhi tanggungjawab untuk membina keyakinan ketika rakyat sedang dilambung gelombang krisis keyakinan dengan memenuhi peranan mekanisme semak dan imbang, demi memastikan berlakunya keadilan; memberikan jaminan bahawa setiap warga berkedudukan sama di sisi undang-undang, memastikan perlembagaan diluhurkan dan undang-undang didaulatkan,” titah baginda.
Baginda turut bertitah, Raja-raja Melayu sebenarnya berada dalam kedudukan yang berupaya memenuhi peranan pelengkap untuk membantu mengukuhkan kerajaan yang dibentuk berlandaskan sistem demokrasi berparlimen.
Naskhah tulisan pakar perlembagaan yang juga Pensyarah Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antabangsa (ISTAC), Prof Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, itu dilancarkan bersempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bermula semalam sehingga 4 Jun depan.
