Tekankan budaya membaca hadapi media sosial,

KUALA LUMPUR 27 Mei –  Membaca wajar dijadikan satu budaya ilmu yang menjadi terapan buat seluruh rakyat khususnya dalam kalangan anak muda bagi mengangkat nilai dan akhlak sebuah bangsa, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri mengakui, kepesatan dunia digital khususnya media sosial, sedikit sebanyak sudah melunturkan minat masyarakat khususnya anak muda dalam menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya penting.

Dalam hal ini, pendidik dan ibu bapa perlu menekankan budaya membaca sejak dari kecil lebih-lebih lagi semangat membaca kini semakin luntur disebabkan arus perubahan media sosial.

“Sementara ada media sosial.. ok saya tak pertikai kewujudannya, tapi percayalah bahawa manusia yang ada akhlak dan ilmu mesti dia mula dengan tradisi membaca secara serius.

“Kalau mahu angkat martabat negara ini caranya bagaimana? Membaca,” katanya ketika berucap merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Anwar berkata, anak muda hendaklah menjadikan budaya membaca ini sebagai satu amalan bukan saja untuk mencari ilmu, tetapi memperbaiki sahsiah diri.

Katanya, negara ini harus diangkat menjadi negara Madani yang ada ilmu, yang ada nilai, yang ada ihsan, ada rahmah di mana semua itu boleh dipupuk melalui semangat membaca dan menimba ilmu.

“Malaysia dan (kerajaan) Malaysia Madani ini tidak mungkin terangkat tanpa akhlak dan nilai serta kesediaan anak-anak muda untuk membudayakan ilmu dengan pembacaan yang meluas,” katanya.

Anwar berkata, anak muda perlu didedah dengan ilmu membaca bagi mengelakkan mereka tidak mudah terikut dengan dakyah pihak yang suka menabur budaya kebencian dalam kalangan rakyat berbilang kaum.

“Justeru, jangan ambil ringan. Ini bukan pesta biasa, ucapan saya hari ini adalah ucapan merayu pemikiran anak muda, ubahlah dan mulakan budaya baru iaitu budaya membaca bersungguh-sungguh.

“Walaupun saudara tahu bila kita berikan bantuan e-Wallet dan dana buku kepada mahasiswa, itu juga menggalakkan membaca dan menghidupkan penerbitan buku dalam pelbagai bahasa. Bahasa Melayu, Cina, Tamil, Arab dan Perancis.

“Saya mahu pesan, mulakan satu tradisi baik di kalangan anak muda. Mesti tanam semangat dan minat untuk membaca serta menilai orang selain dari akhlak dan ilmu adalah dengan minatnya untuk membaca,” katanya.

PBAKL tahun ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan 211 syarikat dan penerbit dari dalam dan luar negara membabitkan 812 reruai.

Pesta buku kali ini turut menyasarkan kehadiran satu juta pengunjung yang berlangsung bermula semalam sehingga 4 Jun ini.

Related posts

Leave a Comment