KUALA LUMPUR 26 Mei – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, menegaskan beliau tidak menyatakan siasatan berhubung isu Perikatan Nasional (PN) menerima dana daripada syarikat judi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah dihenti atau digugurkan.
Sebaliknya, beliau menjelaskan jawapan yang diberikan kepada Dewan Rakyat bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam hanya menyatakan bahawa tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat yang diperoleh setakat ini adalah bersifat umum.
Katanya, SPRM sebagai badan bebas dan berkecuali tentu sekali berhak menjalankan siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan seperti termaktub dalam Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009.
“SPRM juga berhak membuka fail siasatan atas mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa berdasarkan maklumat dan bukti yang diperoleh dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menyatakan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen pada PRU15.
“SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan, bagaimanapun agensi itu mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu,” katanya.
Sehubungan itu, kata Azalina tiada apa-apa fail siasatan dibuka.
Susulan kenyataan Azalina, bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menegaskan dakwaan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya itu adalah fitnah dan tuduhan serius.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dalam sidang medianya mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.
