Lebih 18,000 hadir Majlis Ilmu Madani

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu institusi masjid di negara ini menjadi pangkalan ibadah dan pusat ilmu, bagi mengangkat martabat dan darjat umat Islam.

Perdana Menteri berkata, ia juga adalah maksud sebenar dan asas sebuah negara Madani, iaitu meletakkan semua dasar, termasuk pendidikan dan ekonomi dengan semangat ihsan, berakhlak serta amanah.

Pada masa sama, beliau menjelaskan, umat Islam juga harus menyantuni rakan bukan Islam sebagai keluarga yang boleh hidup bersama-sama secara aman dan penuh hikmah.

“Semangat dan nilai yang dipupuk, akhlak yang ditekankan, ihsan dan rahmah itu akan menjadikan Malaysia ini negara yang terus berpaut pada Islam.

“Kita cuba menyantuni semua sebagai kaum keluarga yang boleh bersama-sama secara aman dan penuh hikmah mengangkat martabat, darjat, harakat umat dan bangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Ilmu Madani di Masjid Putra, di sini malam ini.

Program dianjurkan bersama Pejabat Perdana Menteri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dihadiri lebih 18,000 jemaah yang mula memenuhi pekarangan masjid sejak jam 6 petang.

Majlis Ilmu Madani menampilkan dua tokoh ulama besar dunia Islam, iaitu bekas Mufti Agung Mesir, Prof Dr Ali Jum’ah dan Pengasas serta Pengetua Darul Musthafa di Yaman, Habib Umar bin Hafidz.

Perdana Menteri berkata, majlis ilmu berkenaan adalah peluang untuk mendengar kupasan dua tokoh ulama besar yang penuh hikmah dan bijaksana.

“Walaupun ini acara kedua, semalam saya bersama mereka di Shah Alam (Majlis Muzakarah Ulama dan Umara), tetapi saya ikuti soal jawab bersama mereka, berbeza sekali dengan kadang-kadang fahaman kita tentang Islam dan agama.

“Ini kerana pandangan mereka itu penuh dengan ilmu, penuh asas al-Quran dan hadis serta pengajaran daripada ulama-ulama Islam.

“Ini menjadikan mereka ini sebagai ikon kepada umat yang boleh mendalami agama berdasarkan ilmu yang ikhlas dan semangat juang yang kental,” katanya.

Related posts

Leave a Comment