Dakwaan dana syarikat judi, KUALA LUMPUR 26 Mei – Perikatan Nasional (PN) akan membincangkan dengan peguam langkah yang akan diambil terhadap kenyataan Perdana Menteri dan timbalannya berhubung dakwaan PN memperoleh dana politik daripada syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid berhubung dakwaan itu adalah fitnah, suatu pembohongan dan tuduhan serius.
“Insya-Allah kita akan teliti dan yang penting …yang pertama, kita akan tuntut supaya mereka memohon maaf. Ini satu fitnah dan pertuduhan yang berat. Selepas itu saya tengok apa mereka akan lakukan selepas itu. Insya-Allah,” katanya.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian kepada pemberita selepas prosiding sebutan tujuh kes menggunakan kedudukan dan menerima wang hasil aktiviti haram di Mahkamah Sesyen hari ini.
Muhyiddin berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, semalam menyatakan tidak ada satu pun petanda bahawa perkara yang dinyatakan oleh Perdana Menteri berhubung dakwaan itu betul.
Semalam, Azalina dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa parti PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.
Azalina berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan bagaimanapun agensi itu mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.
Sehubungan itu, kata Azalina, tiada apa-apa fail siasatan dibuka.
Sementara itu Ketua Penerangan Pas Pusat Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin dalam kenyataannya menggesa Perdana Menteri memohon maaf secara terbuka ke atas fitnah dan penipuan yang dilemparkan kepada PN itu.
“Lontaran tuduhan itu asalnya dibuat PMX selepas beberapa minggu menerajui kerajaan, melengkapkan lagi bukti pembohongan PMX,” kata Ahli Parlimen Jerantut itu.
