KOTA KINABALU 23 Mei – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor semakin kukuh apabila seorang lagi wakil rakyat menyertai gabungan itu menjelang pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Limbahau, Datuk Juil Nuatim, yang mengumumkan meninggalkan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) Ahad lalu, hari ini diterima sebagai ahli langsung GRS.
Penyertaan bekas Timbalan Presiden KDM itu disahkan Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun melalui satu kenyataan, petang ini.
“Bekas Timbalan Presiden KDM, Datuk Juil Nuatim diterima sebagai ahli langsung GRS.
“Permohonannya diserahkan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan disaksikan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffery Kitingan dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam,” katanya dalam kenyataan itu.
Juil mengumumkan keluar daripada KDM Ahad lalu untuk menjadi ADUN Bebas yang menyokong kepemimpinan Hajiji dan kerajaan GRS.
Beliau memenangi kerusi DUN Limbahau atas tiket Parti Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2020 sebelum keluar dari parti itu pada Disember 2021 dan menubuhkan KDM bersama bekas Naib Presiden Warisan, Datuk Peter Anthony pada Februari tahun lalu.
KDM pada mulanya menyatakan pendirian menyokong kerajaan negeri di bawah GRS tetapi kemudian menyertai Warisan dan UMNO Sabah dalam cubaan menjatuhkan Hajiji ketika krisis politik Sabah pada Januari lalu.
Bagaimanapun, pada Mac lalu, Peter kembali menyokong Hajiji dan GRS, sebuah gabungan yang didaftarkan secara rasmi sebagai parti politik pada awal tahun lalu dengan keahliannya merangkumi parti politik tempatan dan individu.
Untuk rekod RUU Anti Lompat Partin antara lain menetapkan seseorang ADUN yang dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan hilang kerusi yang dimenanginya jika wakil rakyat itu ‘lompat parti’.
Bagaimanapun seseorang ADUN itu tidak kehilangan kerusinya jika wakil rakyat itu dipecat daripada partinya atau sekiranya parti politiknya terbubar atau dibatalkan pendaftarannya.
