PUTRAJAYA 15 Mei – Isi rumah yang menggunakan elektrik pada jumlah yang amat tinggi tidak lagi akan menikmati subsidi daripada kerajaan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, rumah perseorangan yang penggunaan elektriknya sangat tinggi umpama rumah itu guna tiga kipas dan empat penyaman udara, maka mereka harus membayar kos sebenar dan tidak menikmati subsidi.
“Maknanya, B40 dan M40 tiada kenaikan (tarif elektrik), tetapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik yang tinggi akan dikenakan bayaran ikut harga pasaran.
“Ini kena faham, tiada kenaikan bagi 90 peratus rakyat, tetapi bagi rumah-rumah yang menggunakan elektrik berlebihan termasuk penggunaan penyaman udara yang banyak (akan ada kenaikan tarif),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini.
Perdana Menteri bagaimanapun tidak menyatakan bila penyelarasan kadar tarif elektrik akan dilaksanakan atau jumlah penggunaan yang akan dikategorikan sebagai ‘penggunaan amat tinggi’.
Mengulas lanjut Anwar berkata, kerajaan telah memulakan langkah pensasaran subsidi pada awal tahun ini dengan menolak cadangan kerajaan lalu untuk menaikkan harga elektrik.
“Jadi kita kekalkan harga elektrik bagi B40 dan M40, dan hanya dikenakan kenaikan kepada kilang-kilang besar melainkan yang ada kaitan dengan pertanian atau perniagaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Februari lalu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad melaporkan bahawa kerajaan memperuntukkan RM10.76 bilion bagi menampung subsidi bil elektrik untuk pengguna domestik dan pengguna bukan domestik kategori voltan rendah (LV) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023.
Ia meliputi pengguna daripada Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), restoran, kedai runcit, bengkel kecil serta pengguna dalam kategori pertanian seperti petani, penternak dan pekebun.
Dengan pemberian subsidi berkenaan, seramai 9.5 juta pengguna elektrik yang mewakili 99 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api penjanaan elektrik.
Menurutnya, tarif elektrik disemak setiap enam bulan melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) dengan mengambil kira kos bahan api dan kos penjanaan lain bagi tempoh enam bulan ke belakang.
