PUTRAJAYA 11 Mei – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan terus bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) untuk turun padang melestari gerakan dakwah bersama melalui pelbagai pendekatan dan konsep.
Presiden Mapim Azmi Abdul Hamid turut mencadangkan beberapa modul dakwah untuk digunakan dilapangan kelak yang dibangunkan oleh pihaknya.
“Saya bersedia untuk membantu, yang saya berhajat dengan Yadim ialah sinergi.
Bila bila yang rasa kita boleh bersama, mari, tapi kita kena segera,”, katanya ketika berkunjung ke Yadim semalam.
Menurut Facebook Yadim, kedua-dua belah pihak telah beberapa kali bekerjasama dalam program dakwah dan kebajikan dan selepas ini diyakini inisiatif bersama ini bakal lebih luas dan erat.
Kunjungan beliau ke Yadim disambut oleh Yang Dipertua Yadim yang baharu Hasanuddin Mohd Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ustaz Zamri Zainal Abidin.
Hasanuddin, bekas Ahli Parlimen Hulu Langat dilantik sebagai Yang Dipertua Yadim yang baharu selepas dipersetujui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru-baru ini.
Turut dilantik Profesor Madya Dr Adi Anuar Azmin @ Che Wan sebagai Timbalan Yang Dipertua dan kedua jawatan bukan eksekutif ini berkuatkuasa pada 3 Mei 2023.
Hasanuddin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan hal ehwal masyarakat, juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan selain terlibat dengan badan badan bukan kerajaan.
Dr Adi Anuar pula merupakan pensyarah kanan di Universiti Malaysia Perlis yang bertugas di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi yang diharap dapat membantu Yadim dalam melahirkan daie daie muda dakwah di negara ini.
“Yadim percaya dengan pengalaman dan kepimpinan dua tokoh ini akan meningkatkan kemampuannya sebagai badan dakwah yang menyebar nilai-nilai murni Islam dengan Rahmah sesuai dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Madani,” kata facebook itu.
