Enam stesen LRT beroperasi semula

KUALA LUMPUR 11 Mei – Operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di enam stesen laluan Ampang – Sri Petaling yang dihentikan sejak 2 April lalu akan dibuka semula kepada pengguna bermula pukul 6 pagi esok.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembukaan semula itu, membabitkan stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur.

Pembukaan semula itu susulan kerja pembaikan sementara (fasa pertama) struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya telah selesai.

“Tren-tren yang perlu menjalani proses penyelenggaraan telah dibawa ke Depoh LRT di Ampang dan tren-tren gantian akan digunakan bagi tujuan perkhidmatan operasi ini,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, operasi perkhidmatan LRT di enam stesen itu telah dihentikan susulan tren-tren yang beroperasi tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Faktor kegagalan disebabkan kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran stesen LRT Bandaraya, yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke Depoh LRT di Ampang untuk kerja-kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu.

Menurut Rapid Rail, kerja-kerja pembaikan menyeluruh (fasa kedua) struktur landasan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Oktober depan, bagi membolehkan perkhidmatan LRT di laluan berkenaan beroperasi secara normal.

“Jangkaan ini bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa yang terbabit.

“Bagi melancarkan perjalanan penumpang, Rapid Rail akan mengaktifkan semula perkhidmatan bas perantara percuma (Bas LRT 10) yang akan menghubungkan stesen LRT Masjid Jamek dan stesen LRT Bandaraya akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara kedua-dua stesen berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan bas perantara ini akan beroperasi menggunakan 10 bas dengan kekerapan setiap 10 minit.

Selain itu, pengguna juga mempunyai pilihan untuk menggunakan laluan rel alternatif seperti Monorel dan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya sekiranya ingin menuju ke Hang Tuah atau Chan Sow Lin.

Related posts

Leave a Comment