3 pemimpin Amanah pengerusi badan berkanun

PUTRAJAYA 10 Mei –  Tiga pemimpin Amanah dilantik sebagai pengerusi tiga badan berkanun di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berkuatkuasa mulai 15 Mei ini.

Menteri berkenaan Mohamad Sabu yang juga Presiden Amanah mengumumkan pelantikan itu dalam satu kenyataan yang turut melibatkan pemimpin PKR dan DAP bagi dua badan berkanun lain.

Mendahului senarai adalah Naib Presiden Amanah yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena,  Mahfuz Omar, yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Seorang lagi pemimpin Amanah adalah bekas Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Pemimpin DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali pula sebagai Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) dan bekas Anggota Parlimen Kuala Kedah daripada PKR Dr Azman Ismail sebagai Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Mohamad dalam kenyataannya berkata, pelantikan itu dipersetujui oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

“Pelantikan ini berdasarkan pengalaman luas mereka dalam pelbagai bidang termasuk dasar, pengurusan, pentadbiran dan perkhidmatan. Semua pelantikan ini berkuat kuasa 15 Mei 2023,” katanya.

Mohamad berkata, beliau yakin dengan pengetahuan, kredibiliti dan pengalaman dimiliki mereka dalam menerajui serta menggalas amanah dan tanggungjawab dalam menyokong memastikan pembaharuan selari dengan aspirasi Malaysia Madani.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua yang dilantik,” katanya.

Related posts

Leave a Comment