Usul tidak percaya terhadap Peguam Negara

KUALA LUMPUR 10 Mei – Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Majlis Peguam Malaysia meluluskan usul tidak percaya terhadap Peguam Negara, Idrus Harun, kerana gagal mempertahankan Badan Kehakiman serta menegakkan kedaulatan undang-undang.

Majlis Peguam juga diberi mandat untuk memberi notis kepada Idrus untuk membawa prosiding menghina mahkamah terhadap pihak yang bertanggungjawab melakukan serangan terhadap Badan Kehakiman, dengan serta-merta.

“Jika gagal, Majlis Peguam akan menimbangkan dan, jika difikirkan sesuai, membawa prosiding menghina mahkamah atau mana-mana prosiding lain atau tindakan dalam mengesahkan resolusi ini,” kata usul tersebut.

Usul itu diluluskan melalui Resolusi Kebebasan Badan Kehakiman dan Menegakkan Kedaulatan Undang-Undang, di mana Badan Peguam mengesahkan komitmennya untuk mempertahankan kebebasan Badan Kehakiman dan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Badan Peguam mengisytiharkan tidak mempunyai keyakinan terhadap Idrus kerana kegagalannya mempertahankan Badan Kehakiman daripada serangan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

Ia memetik serangan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang mendengar dan memutuskan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi.

Hakim itu menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas mendapati beliau bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC, pada 28 Julai 2020.

Badan Peguam dalam resolusi itu menyatakan bahawa dakwaan konflik kepentingan terhadap Mohd Nazlan sudah diputuskan melalui dua panel berasingan Mahkamah Persekutuan tanpa penghakiman berbeza.

Pada masa yang sama majlis itu  juga mengutuk tindakan semua pihak yang merendah-rendahkan kebebasan Badan Kehakiman, menjejaskan pentadbiran keadilan dan melanggar kedaulatan undang-undang.

Ia selanjutnya menegur tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi),  Azalina Othman Said, yang menjejaskan kebebasan Badan Kehakiman.

Bulan lalu,  Azalina mengesahkan Mohd Nazlan melanggar kod etika dan mempunyai konflik kepentingan menerusi surat bertarikh 20 Mac lalu kepada peguam bela, Shafee & Co.

Azalina berkata, ia berdasarkan salinan laporan penemuan SPRM bertarikh 20 Februari lalu yang dipanjangkan oleh agensi itu kepadanya.

Dalam usul berkenaan juga, Badan Peguam kesal dengan tindakan SPRM dalam membuat laporan itu, masa dan cara ia dikeluarkan dan kesimpulan terkandung di dalamnya yang bukan dalam bidang kuasa agensi siasatan terbabit.

Related posts

Leave a Comment