Task Force Siasatan 3R buka 18 kertas siasatan

KUALA LUMPUR 10 Mei – Task Force Siasatan 3R (bangsa, agama dan Raja) yang ditubuhkan pada 22 Mac lalu, telah membuka 18 kertas siasatan dan menahan 12 individu bagi membantu siasatan.

Setiausaha Polis Malaysia, Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata, siasatan ke atas semua kes itu dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“PDRM menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial dengan mengeluarkan kenyataan mempersenda yang boleh menimbulkan kemarahan dan rasa benci, mencetuskan ketidakharmonian dan perpaduan kaum, bangsa, agama, bahkan menyentuh sensitiviti sistem beraja.

“Tindakan tegas akan diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan berikutan penahanan seorang lelaki berhubung klip video yang disyaki menghina Islam.

Polis Bukit Aman menahan seorang lelaki berhubung satu klip video disyaki mempersenda ucapan salam yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Lelaki tempatan berusia 40 tahun itu ditahan di sebuah lokasi di Wangsa Maju, di sini, semalam.

Beliau berkata, polis turut merampas dua telefon bimbit serta tiga kad sim milik suspek dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu atas alasan agama, menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan perpaduan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Noorsiah berkata, suspek kini direman selama empat bermula hari ini hingga 13 Mei ini.

Related posts

Leave a Comment