Kes Covid-19 meningkat tiga peratus

PUTRAJAYA 5 Mei –  Sebanyak 4,963 kes Covid-19 dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ke-17 (ME 17/2023) iaitu dari 23 April hingga 29 April lalu, peningkatan tiga peratus berbanding minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, berkata jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital bagi setiap 100,000 penduduk meningkat kepada 5.8 peratus pada ME 17 berbanding 4.8 peratus pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, keadaan jangkitan Covid-19 di Malaysia masih terkawal dan perkhidmatan kesihatan serta kapasiti di hospital tidak terjejas.

Katanya, majoriti yang dimasukkan ke hospital adalah golongan berisiko tinggi seperti individu dengan komorbid dan warga emas, namun peningkatan itu tidak membebankan perkhidmatan kesihatan dan hospital masih beroperasi seperti biasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, kategori 1 dan 2, meningkat daripada 1.4 kepada 1.8 per 100,000 populasi manakala pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat daripada 1.3 kepada 2 peratus per 100,000 populasi.

Bagi peratus pengisian katil fasiliti Covid-19 pada ME 17 pula, katil bukan kritikal, meningkat sebanyak tiga peratus; katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat tiga peratus manakala pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.2 peratus.

Peratus pengisian katil ICU Covid-19 pada 4 Mei (semalam) ialah 15 peratus manakala katil bukan kritikal Covid-19 ialah 23 peratus.

Dr Muhammad Radzi berkata, sehingga ME 17 terdapat sebanyak 33 kluster Covid-19 yang masih aktif di mana, satu kluster dilaporkan pada ME 17 iaitu penurunan sebanyak 75 peratus berbanding empat kluster pada ME sebelumnya.

“Kluster pada ME 17 adalah kluster kumpulan berisiko yang berlaku di pusat jagaan warga emas manakala empat kluster dilaporkan pada ME 16 membabitkan tiga kluster pendidikan dan satu kluster tempat kerja,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, KKM menjangkakan kemungkinan berlaku sedikit peningkatan kes Covid-19 susulan pergerakan dan perjumpaan orang ramai ketika sambutan Hari Raya dan Hari Wesak.

“Sehubungan itu, KKM menggalakkan orang ramai untuk memakai pelitup muka sekiranya bergejala ketika aktiviti kunjung-mengunjung bagi melindungi keluarga, jiran dan sahabat handai daripada mendapat jangkitan Covid-19.

“Sesi persekolahan juga sudah bermula minggu ini dan bagi mengawal penularan di institusi pendidikan, pelajar, guru dan kakitangan dinasihatkan antaranya kerap mencuci tangan dengan pensanitasi serta memakai pelitup muka terutamanya bagi yang bergejala atau apabila berada di tempat tertutup, sempit dan sesak.

“Membuat penilaian kendiri tahap kesihatan serta tidak hadir ke institusi pendidikan sekiranya bergejala,” katanya.

Di samping itu, ibu bapa atau penjaga juga perlu mengambil peranan dan bertanggungjawab memantau status kesihatan anak dan tidak menghantar anak yang bergejala ke institusi pendidikan.

Katanya, KKM sentiasa komited dan akan terus memantau situasi Covid-19 di dalam dan luar negara selain memastikan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan berada dalam keadaan yang optimum bagi memastikan kesejahteraan rakyat untuk hidup bersama virus COVID-19 dengan selamat.

Related posts

Leave a Comment