WHO bincang status Covid-19

GENEVA: Jawatankuasa Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersidang semalam bagi membincangkan sama ada Covid-19 masih merupakan satu kecemasan kesihatan global.

Mesyuarat ke-15 panel itu mengenai krisis Covid-19 diadakan lebih tiga tahun selepas ia mengisytiharkan tahap amaran kecemasan tertinggi WHO ketika koronavirus merebak ke luar China.

Jawatankuasa bebas itu bersidang setiap tiga bulan untuk berbincang tentang pandemik dan melaporkannya kepada Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang kemudian memutuskan sama ada ia kekal sebagai satu kecemasan antarabangsa.

Mesyuarat dipengerusikan oleh doktor dari Perancis, Didier Houssin, dan hasil mesyuarat mungkin mengambil masa selama beberapa hari sebelum didedahkan.

Terdapat tanda-tanda yang membayangkan bahawa WHO , agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu bersikap terbuka untuk menamatkannya.

WHO pada 3 Mei lalu menerbitkan strategi baharu untuk melawan Covid-19 sepanjang dua tahun akan datang di mana Tedros berkata, matlamatnya adalah untuk “menyokong negara-negara sedang melangkah keluar daripada respons kecemasan kepada pencegahan, kawalan dan pengurusan jangka panjang wabak Covid-19”.

Minggu lalu, WHO mengumumkan kematian akibat Covid-19 menjunam sebanyak 95 peratus sejak awal 2023, meskipun memberi amaran bahawa virus itu masih menular.

Trend positif itu bagaimanapun mungkin belum cukup untuk mendorong jawatankuasa kecemasan untuk menarik balik status Kecemasan Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC) Covid-19 – amaran tahap tertinggi WHO.

Jumlah kes jangkitan Covid-19 sudah lama merosot, tetapi apabila jawatankuasa itu kali terakhir bermesyuarat pada bulan Januari, ia memutuskan bahawa status PHEIC masih wajar.

Sejak virus itu pertama kali dikesan, lebih 765 juta kes Covid-19 dilaporkan di seluruh dunia dengan jumlah kematian pula tujuh juta orang. Bagaimanapun WHO menekankan bahawa jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi.

Related posts

Leave a Comment