PEMIMPIN-pemimpin dunia turut mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam, yang mula meraikannya sama ada pada Jumaat atau Sabtu
Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan isteri Jill Biden mengucapkan tahniah kepada umat Islam di seluruh dunia yang menyambut Aidilfitri, menandakan berakhirnya bulan Ramadan.
“Saya dan Jill ingin mengucapkan tahniah kepada masyarakat Islam di Amerika Syarikat dan seluruh dunia yang menyambut Aidilfitri dan melabuhkan tirai Ramadan.
“Sementara kita menyambut keberkatan hari raya ini, marilah kita juga kembali komited kepada kerja abadi membina keamanan dan mempertahankan hak dan maruah semua,” katanya dalam kenyataan.
Biden berkata pentadbirannya juga komited menangani segala bentuk kebencian termasuk islamofobia.
“Itulah sebabnya saya menubuhkan pasukan petugas antara agensi dengan pegawai kanan pemerintah untuk menangani ini dan cabaran berkaitan dengannya serta menggalakkan setiap warganegara AS membina negara yang lebih inklusif,” tambahnya.
Katanya, sambutan Hari Raya Aidilfitri di Rumah Putih akan diadakan sekali lagi tahun ini untuk “mengiktiraf orang Islam Amerika yang sudah menyumbang kepada negara.
“Bagi mereka yang menyambutnya, saya dan Jill berharap anda dan yang tersayang menikmati sambutan Aidilfitri. Eid Mubarak!” katanya.
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau juga mengirimkan ucapan bagi masyarakat Islam di Kanada.
“Malam ini, umat Islam di Kanada dan seluruh dunia akan menandakan berakhirnya Ramadan dan menyambut Hari Raya Aidilfitri,” dalam ucapannya pada Khamis.
“Selepas sebulan berdoa dan berpuasa, hari raya adalah masa untuk iman dan kerohanian. Masa untuk tradisi dan masyarakat. Dan masa untuk kegembiraan dan kebahagiaan.
“Dari Vancouver dan Calgary ke Toronto dan Halifax, sambutan Aidilfitri akan berlangsung di seluruh negara malam ini. Dan semasa anda berkumpul tahun ini, warga Kanada akan mengiktiraf banyak sumbangan yang anda sudah lakukan,” kata Trudeau.
“Daripada keluarga saya kepada anda, saya dan Sophie mengucapkan selamat hari raya kepada anda semua. Eid Mubarak!” katanya.
Presiden Jerman Frank-Walter Steinmeier pula dalam kenyataan menyatakan: “Perayaan di akhir Ramadan adalah salah satu perayaan keagamaan terbaik di negara kita,”
Steinmeier berkata perayaan Aidilfitri juga merupakan peluang untuk mengukuhkan dialog dan persefahaman antara budaya dan agama yang berbeza di Jerman.
“Saya berharap orang yang beragama lain dan yang juga tidak beriman akan mengambil peluang ini untuk berbual dengan orang Islam dan mengetahui lebih lanjut tentang salah satu daripada dua perayaan penting dalam Islam,” katanya.
Steinmeier juga berterima kasih kepada umat Islam yang menganjurkan kempen dalam beberapa minggu dan bulan kebelakangan ini untuk menggerakkan sokongan kepada mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria pada 6 Februari yang lalu.
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak turut menyampaikan ucapan selamat kepada umat Islam di negaranya.
“Aidilfitri adalah peluang tepat pada masanya untuk mengiktiraf nilai-nilai bersama yang mengikat kita bersama, terutamanya belas kasihan dan dedikasi anda untuk menyumbang kepada kebajikan dan sifat dermawan.
“Ini terbukti awal tahun ini, melalui sambutan luar biasa masyarakat untuk menyokong mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.”
Sambil memberi penghormatan kepada sumbangan “luar biasa” masyarakat Islam kepada negara, beliau berkata: “Sama ada dalam perniagaan, sukan, media, perkhidmatan awam kami, atau sudah tentu NHS (Perkhidmatan Kesihatan Negara) dan angkatan bersenjata kami, umat Islam Britain menjayakan negara ini.
“Eid Mubarak kepada semua orang yang merayakannya hari ini,” katanya, sambil menyatakan tidak sabar untuk mengalu-alukan wakil masyarakat Islam Britain ke Downing Street untuk meraikan Aidilfitri.
