Raya: Jangan lalai tanggungjawab Islam

BANDAR SERI BEGAWAN 22 April – Sultan Brunei Darussalam, Sultan Haji Hassanal Bolkiah mengingatkan umat Islam di negara itu supaya tidak lalai atau asyik menyambut Hari Raya Aidilfitri sehingga terjebak kepada dosa.

Baginda bertitah, sambutan hari raya masih terikat kepada agama terutama kewajipan sembahyang.

 “Ketika berhari raya, kita tidak boleh meninggalkan atau terlepas dari kewajipan sembahyang, ketika berhari raya kita juga tidak boleh terlalu lalai atau asyik sehingga terjebak kepada dosa,” titah baginda.

 Baginda bertitah demikian dalam Titah Perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 1444H / 2023M di Istana Nurul Iman semalam.

Baginda bertitah, inilah unik dan sucinya Hari Raya yang bermula dengan takbir, dengan kalimat suci ‘Allahu Akbar’ diikuti tahlil ‘Lailaha Illallah ‘ dan ditutup pula sekali lagi dengan ‘Allahu Akbar’ dan ‘Walillahil Hamd’

“Kemudian kita bergerak ke masjid untuk terus melakukan takbir dan seterusnya sembahyang sunat  Hari Raya. Lihatlah, betapa suci dan indahnya Hari Raya kita,” titah baginda.

Selepas itu, titah baginda, mereka  akan bergerak menemui ibu bapa untuk memohon kemaafan, menemui sanak saudara, sahabat handai dan kawan-kawan.

“Semua pertemuan ini berkonsepkan ziarah menziarahi yang sangat digalakkan oleh Islam dan juga satu cara untuk menjalinkan silaturahim,” titah baginda.

Sultan Hassanal Bolkiah juga menzahirkan rasa kegembiraan dengan keadaan dan suasana dalam negara yang cukup mengizinkan untuk rakyat dan penduduk dapat menikmati Hari Raya dengan penuh keriangan dan kebahagiaan.

“Mudah-mudahan keadaan seperti ini akan terus berkekalan hendaknya,” titah baginda yang juga  mengajak semua merafakkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dikurniakan nikmat menyambut Hari Raya.

“Sesungguhnya Hari Raya adalah detik yang ditunggu-tunggu setelah kita berjaya melaksanakan kewajipan berpuasa,” titah baginda.

Titah baginda, inilah kejayaan paling agung, yang kejayaan melawan hawa nafsu dan perjuangan ini tidak boleh putus atau terhenti setakat cuma sebulan Ramadan, tetapi perjuangan melawan hawa nafsu mesti berterusan untuk selama-lama.

“Di sinilah ‘ujian’ sebenar bagi kita umat Islam dan demikian juga ketika kita merayakan Hari Raya, perjuangan melawan hawa nafsu mesti diteruskan, seperti melawan hawa nafsu yang menyuruh kita membazir dan melawan hawa nafsu yang menyuruh kita lari daripada ugama ketika merayakan Hari Raya.

“Untuk akhirnya, beta dan keluarga beta dengan hati yang jernih putih serta sukacita mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua lapisan rakyat dan penduduk di mana sahaja mereka berada, semoga kita sama-sama di dalam aman sejahtera, Amin Yaa Rabbal Alamin,” titah baginda

Related posts

Leave a Comment