MUMBAI: Pemerintah persekutuan India meminta negeri-negerinya untuk mengenal pasti kawasan kecemasan dan mempergiatkan lagi pelaksanaan ujian Covid-19 susulan lonjakan jumlah kes paling tinggj sejak September lalu.
Menurut laporan media, sebanyak 6,050 kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 24 jam, trend kenaikan kes secara mendadak, hampir tiga kali lebih tinggi daripada sekitar 2,000 kes yang dilaporkan pada hujung Mac lalu.
Ketika mesyuarat bagi menyemak tahap kesiapsiagaan negeri-negeri, Menteri Kesihatan Mansukh Mandaviya meminta negeri-negeri untuk meningkatkan pelaksanaan ujian genom dan menjalankan latihan di hospital.
Tahap penularan varian XBB.1.16, yang diklasifikasikan sebagai varian yang perlu diberi perhatian oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), meningkat daripada 21.6 peratus pada Februari kepada 35.8 peratus pada Mac lalu,
Ia bagaimanapun menambah bahawa tiada bukti yang menunjukkan peningkatan pada jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital ataupun kematian akibat Covid-19.
India mencatatkan lebih 44.7 juta kes yang disahkan Covid-19 sejak pandemik tersebut mula melanda tiga tahun lalu sekali gus merupakan jumlah kes ketiga tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat dan China.
